‘Sebelum nak jadi artis, pergi cermin diri dulu’ - Utusan Malaysia

‘Sebelum nak jadi artis, pergi cermin diri dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, Erma Fatima, menasihati pendatang baru untuk memiliki visi dalam industri selain mengenal pasti potensi diri.

Jelas Erma, perkara ini penting untuk memastikan impian mereka bergelar artis selari dengan kehendak pasaran semasa.

“Sebelum nak jadi artis, pergi depan cermin dulu dan tanya ‘saya nak jadi artis seperti apa? adakah sebagai heroin?’

“Jika ya, apakah kriteria heroin yang disukai penonton? mesti cantik. Kalau mahu menjadi hero mesti kacak, kemudian baru bakat.

“Kalau ada bakat, tapi muka tak ada,tak jalan,” katanya dalam video temu ramah audio siar Duduk Dulu yang tular.


Erma berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan yang perlu dilakukan sekiranya seseorang ingin menjadi pelakon.

Bukan itu sahaja, selain rupa, penerbit Bidaah itu juga akan memilih pelakon yang memiliki karisma sebagai pelakon utama untuk menjual naskhah.

“Sebagai pengarah bila saya nak buat cerita, mesti saya nak cari pelakon yang boleh ‘jual’. Maksudnya, penonton suka nak tengok dia. Saya kena cari yang sebegitu.

“Tidak boleh main rembat sahaja terutama untuk karakter hero dan heroin. Pelakon utama kena orang yang dikenali, perlu ada karisma. Bukan ‘follower’ sebab itu boleh dibeli.

“Oleh itu, kita kena ukur baju di badan sendiri. Kita tidak boleh hidup dengan impian semata-mata, kita tengok mampu atau tidak kita meletakkan diri di tempat itu. Kalau mampu, kejar,” tambahnya.

Sementara itu, jelas Erma lagi, situasi itu berlainan sekiranya seseorang itu mahu bekerja di dalam industri bukan sebagai pelakon utama.

“Namun, kalau seseorang itu tidak mengejar karakter utama. Mahu jadi pelakon pembantu atau karakter jahat. Itu tak mengapa.

“Muka macam pecah rumah pun boleh,” ceritanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN