Sebarkan kesedaran, tidak salah berkongsi ilmu penyusuan - Intan Najuwa - Utusan Malaysia

Sebarkan kesedaran, tidak salah berkongsi ilmu penyusuan – Intan Najuwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Ibu-ibu! Kongsi sahaja perjalanan dan cerita anda, sebarkan kesedaran. Tidak salah pun berkongsi ilmu tentang penyusuan atau susu ibu.”

Demikian kata pelakon, Datin Intan Najuwa yang menyeru agar kaum ibu untuk terus berkongsi ilmu mengenai penyusuan dan susu ibu di media sosial.

Menurut Intan, perkongsian tersebut amat membantunya sebagai seorang yang baru bergelar ibu untuk mendapatkan ilmu pengetahuan mengenai penyusuan.

“Sebagai yang baru bergelar ibu, saya belajar banyak perkara dengan melihat pelbagai perkongsian dalam media sosial, sangat mudah.

“Kalau sesiapa tidak suka, mudah, berhenti mengikuti dan teruskan cari topik lain,” katanya dalam aplikasi Thread.

Dalam pada itu, Intan juga sempat meluahkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah kaum wanita yang sanggup melemparkan kecaman terhadap para ibu yang berkongsi perihal penyusuan dalam media sosial.

“Biarkan semua ibu di luar sana gembira dan berkongsi apa sahaja mereka inginkan tanpa dihakimi oleh mana-mana pihak.

“Secara jujur, sangat sedih melihat kaum wanita sendiri yang melemparkan kecaman dan menghukum,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya bersetuju dengan pendapat yang dilontarkan oleh ibu kepada Imane Lunara itu.–UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN