SEKALI lagi kuasa veto yang wujud di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disalahgunakan.
Terbaharu, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan satu resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan antara Israel dan Hamas di Gaza. Resolusi itu menerima sokongan 14 daripada 15 anggota, namun ditolak oleh AS yang merupakan salah satu anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang diberikan kuasa veto.
Ini bukan kali pertama penyalahgunaan kuasa veto digunakan oleh anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.
Semenjak PBB ditubuhkan hampir 80 tahun yang lalu pada 1945, banyak kali kuasa veto ini disalahgunakan untuk menjaga kepentingan politik dan pengaruh negara-negara tertentu.
Pemberian kuasa veto kepada negara-negara anggota tetap ini dilihat banyak menganggu fungsi dan peranan PBB sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa memastikan hubungan adil dan harmoni di antara semua negara dunia.
Penggunaan kuasa veto oleh negara-negara anggota tetap ini dilihat banyak dipengaruhi sentimen politik dan kepentingan negara-negara anggota tetap berkenan.
Kuasa veto ini disalahgunakan sehingga menjejaskan usaha untuk mewujudkan kedamaian di negara-negara yang bergolak dengan konflik seperti di Palestin dan Syria.
Banyak resolusi yang dikeluarkan oleh pihak PBB yang menentang Israel telah di veto oleh sekutu kuat Israel iaitu AS. Akibat daripada ini, rejim Israel tanpa rasa takut serta bersalah masih melakukan siri kekejaman dan penindasan terhadap masyarakat Palestin sehingga ke hari ini.
Impak buruk kuasa veto ini juga turut terkena kepada Malaysia pada 2015 apabila Rusia telah menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB menghalang cadangan lima negara, yang dipelopori Malaysia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Wilayah Timur Ukraine pada 2014. Kejadian itu mengorbankan seramai 298 nyawa termasuk 43 orang warga Malaysia.
Pada 2014 juga, Rusia dan China menggunakan kuasa veto mereka menghalang resolusi yang dipersetujui oleh banyak negara bagi membawa isu peperangan di Syria ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Kuasa veto kini dipandang sebagai bentuk kuasa yang banyak menghalang usaha pendamaian serta pencegahan jenayah.
PBB perlu melihat kembali piagamnya supaya tiada lagi peruntukan khas diberikan pada mana-mana negara anggota tertentu hingga wujudnya ketidakadilan terhadap negara anggota yang lain.
Sudah sampai masanya juga, semua negara anggota PBB dilayan sama adil tanpa sebarang ke istimewaan diberikan kepada mana-mana negara anggota tertentu.
Sekiranya tiada langkah berani diambil bagi melaksanakan segala pembaharuan terhadap agensi berkenaan, PBB sudah pasti akan rebah dan musnah seperti yang berlaku pada Liga Bangsa yang hanya mampu bertahan selama 26 tahun sahaja iaitu dari tahun 1920 sehingga 1946.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










