Saran PBT guna i-GRED untuk sifarkan keracunan makanan

Saran PBT guna i-GRED untuk sifarkan keracunan makanan

SABARUDDIN Ahmad (tengah) bersama pengurusan MYEK Global menunjukkan sistem i-GRED yang boleh dimuat turun melalui aplikasi telefon pintar ketika sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran melaksanakan Sistem Pemeriksaan Kebersihan Kendiri Premis Makanan Berlesen (i-GRED) dalam usaha membantu kerajaan untuk mencapai sasaran sifar keracunan makanan.

Pengarah Urusan MYEK Global Sdn Bhd, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad berkata, selain PBT dan pemilik premis makanan atau restoran yang terlibat, pihaknya turut membangunkan aplikasi yang sama untuk pengguna bagi membolehkan mereka menilai sendiri tahap kebersihan premis terbabit.

Ujar beliau, ketika ini, sistem i-GRED telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Selangor sejak 2019.

“Sejak sistem i-GRED ini dilaksanakan oleh mereka (MBSA), boleh dikatakan kes keracunan makanan yang dilaporkan di sana hampir tiada atau sifar.

“Ini secara tidak langsung membuktikan keberkesanan sistem tersebut dalam menangani kes-kes seperti ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Selain dilengkapi dengan lebih maklumat terkini mengenai tahap kebersihan premis yang berdaftar, i-GRED juga lengkap dengan pelbagai ciri keselamatan terkini seperti sistem pengesanan global (GPS) yang mengesan kedudukan premis tersebut dan sebagainya.

Dalam pada itu, Sabaruddin memberitahu, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama 50 buah PBT di seluruh negara sejak awal tahun ini termasuk dua PBT di Pulau Pinang iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Boleh dikatakan hampir kesemua PBT ini telah memberikan maklum balas yang positif terhadap sistem i-GRED.

“Untuk pengetahuan, selain Malaysia, sistem seperti ini juga telah diguna pakai di beberapa negara luar termasuk Taiwan dan Switzerland,” katanya yang memberitahu, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) turut menyambut baik inisiatif tersebut sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap kebersihan serta profesionalisme dalam kalangan pengusaha premis mereka.

Tambah Sabaruddin, pelaksanaan sistem berkenaan oleh PBT juga selari dengan komitmen Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menjaga kebajikan rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN