MELAKA 5 Jun – Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 bakal membuka kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang menerusi kerjasama lebih 60 syarikat dan majikan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, lebih 30,000 pengunjung turut disasarkan pada program yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dari 11 hingga 13 Jun ini.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan merasmikan sambutan itu pada hari Khamis kira-kira pukul 12.00 tenghari yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.
Beliau berkata, pelbagai pengisian dianjurkan sepanjang sambutan termasuk seminar, bengkel, pertandingan berasaskan inovasi, teknologi dan teknikal termasuk kehadiran TVET dari negara-negara ASEAN.
“Sambutan Hari TVET Negara ini dianjurkan secara besar-besaran serta dimeriahkan dengan kehadiran TVET dari ASEAN yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi manakala Perdana Menteri akan hadir untuk majlis perasmian.
“Sudah tentu kita adakan ruang pameran dan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan kerana lebih 60 syarikat dan majikan akan mengambil bahagian.
“Sehubungan itu, saya mengajak pelajar dan golongan belia untuk memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara sepanjang tempoh tiga hari penganjuran,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM & Bijak Sejarah A+ Tahun 2024 serta Pelancaran Program Bijak SPM Tahun 2025 Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.
Dalam pada itu Ab. Rauf berkata, seramai 375 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan SPM 2024, serta 585 pelajar yang mencapai A+ dalam subjek Sejarah menerima isentif antara RM200 hingga RM1,000 yang disumbangkan Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM).
Menurutnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi Program Tuisyen Percuma untuk pelajar SPM dan STPM khusus untuk golongan B40 pada tahun ini.
“Usaha ini adalah sejajar dengan matlamat kerajaan negeri ingin memastikan tiada pelajar tercicir, khususnya daripada kalangan keluarga B40 untuk Berjaya dalam SPM tahun ini,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam pembentangan Bajet 2025 kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM700,000 bagi melaksanakan program kecemerlangan calon SPM menerusi Inisiatif Bijak SPM melibatkan 95 buah sekolah menengah dan memberi manfaat kepada 12,757 calon SPM. – UTUSAN