Saman hanya akan panjangkan isu - Wawa, Aeril terkilan anak dikecam - Utusan Malaysia

Saman hanya akan panjangkan isu – Wawa, Aeril terkilan anak dikecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun terkilan anak kesayangan menjadi mangsa buli siber, pasangan pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal enggan memanjangkan isu dengan mengheret pelaku ke muka pengadilan. 

Bagi Aeril dan Wawa, mereka menghormati sekiranya ada yang berpandangan kek batik buatan anaknya, Hayla Maghfiratul, Adzkiyaa tidak menepati selera sesetengah individu. 

Namun begitu, kecaman berbentuk peribadi seperti mengutuk fizikal anak dan menyamakan kek buatan Hayla seperti binatang adalah tindakan buli siber yang melampau.

“Saya tak marah orang nak letak ‘rating’ kek batik anak saya. Cuma ada komen yang melampau sampai kutuk fizikal. Ada yang tak beli pun kek itu tapi terus hentam kata rasa seperti binatang. 

“Itu belum lagi yang kata Hayla mengada-ngada. Saya tidak faham, tergamak lempar kata begitu kepada seorang budak? Sebagai ibu bapa, sudah tentu kita rasa sedih,” kata Wawa kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Starling Mall, baru-baru ini. 

Walaupun maklum kewujudan undang-undang khas yang melindungi mangsa buli siber, Wawa bagaimanapun enggan memanjangkan isu. 

Bagi Aeril pula, sebagai bapa, dia banyak memujuk Hayla untuk tetap kuat dan tidak mudah patah semangat dengan komen negatif yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab. 

“Saya cakap dengan Hayla perniagaan ini penuh cabaran tidak selamanya orang akan suka. Tak kisah pun orang kritik rasa kek sebab lidah lain-lain. Cuma yang tidak okay apabila wujud individu yang ajak semua orang untuk membenci sedangkan mereka tak beli pun kek itu. Tak seronoklah begitu.

“Kami bukan nak disanjung atau dipuji, tapi kita juga manusia yang kadang kuat dan tidak. Saya tidak mahu panjangkan isu, saman sampai perlu ke mahkamah. Kalau menang sekalipun, di mata warganet kami tetap kalah.

“Jadi, lebih baik kita diam,” tambah Aeril.

Bagaimanapun, Aeril tidak menafikan jualan kek batik anaknya semakin mendapat sambutan apabila memperoleh 6000 tempahan dalam masa dua minggu. Kini, anaknya sedang giat memperkenalkan menu baharu iaitu kek berperisa Tiramisu. 

“Selepas ini kalau Hayla berjaya, kita mungkin nak bukakan kafe. Itu masih dalam perancangan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN