KUALA LUMPUR: Rundingan Malaysia dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balik berjalan dengan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang berada di AS.
Katanya, walaupun perbincangan menekankan kepentingan mencapai hasil yang adil, namun Malaysia sentiasa menyuarakan pendirian konsisten mengenai kepentingan ASEAN.
“Pagi ini, saya telah menerima makluman daripada Menteri MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan Menteri Kewangan II bahawa pertemuan dengan wakil perdagangan AS telah berjalan dengan sangat baik. Seperti biasa, kita menekankan kepentingan untuk mencapai hasil yang adil bagi Malaysia.
“Walaupun kita sentiasa menyuarakan pendirian Malaysia, kita juga secara konsisten memperjuangkan kepentingan ASEAN sebagai satu blok serantau yang padu dan berkesan.
“Saya telah menggesa rakan-rakan sejawatan saya dalam ASEAN supaya melakukan perkara yang sama dengan menyatakan keprihatinan secara dua hala, tetapi pada masa sama menekankan keperluan kolektif rantau ini,” katanya ketika berucap pada Persidangan Meja Bulat Asif Pasifik Ke-38 di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan tarif timbal balik oleh AS merupakan cabaran besar buat Malaysia dan rantau ASEAN kerana sudah terlibat dalam rantaian bekalan global secara mendalam.
“Mungkin ada yang tidak begitu memahami situasi yang kita hadapi. 60 peratus daripada eksport semikonduktor dan produk elektrik & elektronik (E&E) Malaysia adalah ke AS.
“Ini jelas menunjukkan tahap kebimbangan bukan sahaja daripada pihak kerajaan, tetapi seluruh rakyat Malaysia akan keperluan untuk mencapai penyelesaian yang adil dan mampan dalam isu ini,” katanya.
Kata Anwar, Malaysia konsisten menyelesaikan isu itu dan kepimpinan ASEAN secara konsensus berpegang teguh bahawa perdagangan antarabangsa mesti dikawal selia peraturan telus berasaskan undang-undang.
“Perdagangan antarabangsa mesti dikawal selia oleh peraturan yang telus dan berdasarkan undang-undang, bukannya oleh tindakan unilateral atau tekanan ekonomi yang bersifat paksaan.
“Gangguan dalam perdagangan dan rantaian bekalan hanya akan membawa kesan buruk kepada perniagaan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta menghalang usaha untuk menjamin kesejahteraan sosioekonomi rakyat,” katanya. – UTUSAN