China terus didesak henti penindasan etnik Uighur di Xinjiang - Utusan Malaysia

China terus didesak henti penindasan etnik Uighur di Xinjiang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Etnik Uighur dan aktivis hak asasi manusia mengecam tindakan dunia yang lemah berikutan laporan Pertubuhan bangsa Bersatu (PBB) 2022 yang mendedahkan penyeksaan dan pelanggaran besar-besaran terhadap hak asasi manusia di wilayah Xinjiang, China.

Sekumpulan etnik Uighur bersama NGO berkumpul di luar sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk mendesak ketua majlis, Volker Turk, meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Beijing supaya melaksanakan syor PBB.

Pada Ogos 2022, laporan oleh bekas Ketua Hak Asasi PBB, Michelle Bachelet, menggariskan kemungkinan berlakunya jenayah terhadap kemanusiaan di Xinjiang, termasuk dakwaan penyeksaan dan penahanan sewenang-wenangnya terhadap etnik Uighur dan minoriti Muslim lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Laporan itu juga menggesa China membebaskan semua individu yang ditahan tanpa alasan sah dan menjelaskan nasib mereka yang hilang.

Namun, syor tersebut masih belum dilaksanakan, kata Rizwangul Nurmuhammad, aktivis Uighur yang memperjuangkan pembebasan abangnya yang dipenjara sejak 2017 tanpa alasan selain identitinya sebagai seorang Uighur.

Beliau turut memaklumkan bahawa penahanan tanpa sebab yang sah masih berlaku secara sistematik.

Seorang lagi etnik Uighur, Uluyol, menceritakan bagaimana bapanya menjalani hukuman penjara 16 tahun tanpa proses perbicaraan yang adil, manakala beberapa ahli keluarganya turut dipenjara dengan hukuman berat.

Seorang diplomat China yang hadir dalam majlis tersebut menafikan dakwaan penahanan sewenang-wenangnya dan kehilangan paksa, menggelarnya sebagai pembohongan.

Sophie Richardson, ketua bersama NGO Chinese Human Rights Defenders, menyifatkan pencabulan hak asasi manusia ini sebagai meluas dan sistematik, sambil mendesak Volker Turk memberikan taklimat segera mengenai isu tersebut.

Pejabat Turk memaklumkan kepada AFP beliau telah beberapa kali membangkitkan isu ini kepada Beijing dan dalam sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Turk juga menyatakan bahawa kemajuan yang diharapkan untuk melindungi hak etnik Uighur dan minoriti Muslim lain masih belum menjadi kenyataan.

Jurucakap Turk, Ravina Shamdasani, menegaskan pentingnya mangsa pencabulan hak asasi manusia menerima pemulihan yang berkesan dan keadilan atas penderitaan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×