BEIJING: Seorang bapa muda di China mendapat perhatian ramai selepas menderma sebahagian hatinya kepada bayi perempuannya.
Lebih menyentuh hati, dia turut merawat lukanya sendiri di rumah bagi menjimatkan kos perubatan yang tinggi.
Lelaki berkenaan yang dikenali dengan nama keluarga Shen, menjalani pembedahan pemindahan hati pada 13 Ogos lalu bagi mendermakan sebahagian organ itu kepada anaknya.
Media tempatan melaporkan, pemindahan itu berjaya, namun cabaran kewangan terus menghimpit keluarga muda ini.
Gambar dan video Shen menukar sendiri balutan lukanya di rumah sewa mereka selepas pembedahan tular di media sosial China, mencetuskan gelombang simpati orang ramai.
Shen dan isterinya, Tao berkahwin pada tahun 2024 serta anak sulung mereka, Yiyi, dilahirkan tidak lama selepas itu.
Namun kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila Yiyi mengalami jaundis berpanjangan, yang kemudian disahkan penyakit hati serius berpunca daripada masalah genetik.
Kos rawatan yang mencecah lebih 100,000 yuan (RM59,059) memberi tekanan besar kepada keluarga tersebut.
Dalam usaha mengurangkan perbelanjaan, Shen mengambil keputusan keluar hospital lebih awal dan pulang ke rumah untuk memulihkan diri sendiri.
Hanya dua minggu selepas pembedahan besar, dia kembali ke Ningbo untuk bekerja meskipun masih fasa pemulihan.










