Rumah, kampung pesisir pantai dapat akses jalan

Rumah, kampung pesisir pantai dapat akses jalan

AHMAD Zahid Hamidi menerima cenderahati berupa tikar daripada Tuai Rumah Rengan Bunyat sempena upacara pecah tanah projek jalan dari Kampung Kupang ke simpang Jalan Bajau, di Saratok, Sarawak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARATOK: Rumah panjang dan kampung tradisi di pesisir pantai Sarawak akan disambung dengan jalan raya yang menghubungkan ke laluan pesisir utama.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selari dengan komitmen Kerajaan Sarawak membina jalan pesisir yang cukup penting, sekali gus menjadi penghubung kepada Lebuhraya Pan Borneo.

Katanya, KKDW bertanggungjawab memastikan sambungan daripada laluan itu ke rumah panjang dan kampung tradisi turut diberi perhatian.

“Ini menjadi salah satu bidang tugas Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelarasan agar tidak menghadapi sindrom penafian oleh pelbagai pihak.

“Sebaiknya kita lakukan penyelarasan ini demi kepentingan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara pecah tanah projek jalan dari Kampung Kupang ke simpang Jalan Bajau, di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelarasan yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang sebagai langkah strategik menangani kelewatan pelaksanaan projek akibat isu teknikal dan pertindihan kuasa antara agensi.

Jawatankuasa itu ditubuhkan selepas mendapati terdapat beberapa pelaksanaan projek yang lewat atau menghadapi permasalahan, terutama daripada segi pemilikan tanah yang belum diselesaikan dan isu teknikal lain.

“Selain mempercepatkan pelaksanaan projek, penyelarasan dengan agensi negeri adalah sangat mustahak kerana Sarawak mempunyai beberapa agensi yang terus menangani permasalahannya di peringkat negeri,” katanya.

Zahid berkata, KKDW juga memberikan dokongan untuk pelaksanaan sesuatu projek khususnya bagi mempermudahkan projek bernilai di bawah RM50 juta, selaras dengan keputusan Perdana Menteri untuk menyerahkan pelaksanaan projek tersebut kepada kerajaan negeri.

“KKDW mahu melihat beberapa skop kerja yang buat masa ini di bawah Kerajaan Sarawak.

“Walaupun kita mempunyai kekangan menukar skop itu tetapi ia tidak mustahil dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) nanti, kalau kita memperbincangkan pelaksanaan bersama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN