SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan syarikat penerbangan tempatan supaya menyediakan langkah mitgasi kepada penumpang susulan penutupan ruang udara di beberapa buah negara di Asia Barat.
Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau difahamkan sejak semalam, beberapa syarikat penerbangan tempatan termasuk Batik Air terpaksa membatalkan penerbangan disebabkan penutupan itu.
Beliau berkata, pihaknya mengesahkan ada penerbangan terjejas terutama bagi laluan ke Asia Barat.
“Justeru, syarikat penerbangan berkenaan akan melaksanakan langkah mitigasi termasuk menyediakan tempat penginapan kepada penumpang terjejas sementara menunggu ruang udara dibuka semula.
“Malam tadi, saya dimaklumkan penerbangan Batik Air ke Dubai terpaksa berpatah balik apabila tiba di Lautan Hindi disebabkan penutupan ruang udara itu.
“Apabila ruang udara di negara-negara tertentu ditutup maka, syarikat penerbangan tidak boleh melalui ruang udara itu dan terpaksa berpatah balik atau mengubah laluan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Expo Pengangkutan Asia 2025, di sini hari ini.
Katanya, penutupan udara oleh sesebuah negara adalah di luar kawalan dan ia bukan sahaja menjejaskan penerbangan dari Malaysia sahaja sebaliknya semua negara yang menggunakan laluan udara itu.
Loke berkata, beliau difahamkan, syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang terlebih dahulu telah diberikan ‘notis kepada juruterbang’ (NOTAM) sebagai makluman awal penutupan ruang udara itu.
Menurutnya, apabila NOTAM dikeluarkan, syarikat penerbangan perlu mengambil langkah waspada dan perlu membatalkan penerbangan atau mengubah laluan.
“Syarikat penerbangan juga perlu membuat penilaian risiko untuk setiap penerbangan sebelum mereka terbang semula.
“Saya dimaklumkan, dalam tempoh dua minggu ini penerbangan dari Malaysia ke laluan Eropah (Paris dan London) dilencongkan ke ruang udara Afghanistan serta tidak melalui ruang udara Iran seperti sebelum ini.
“Akibat konflik Iran – Israel ini, semua penerbangan kita telah mengambil laluan yang lebih jauh iaitu lebih
utara dengan memasuki ruang udara India ke Afganistan bagi mengelak ruang udara itu,” katanya.
Ketegangan memuncak akibat konflik Iran – Israel menyebabkan beberapa negara di Timur Tengah termasuk Qatar, Kuwait dan Jeddah ditutup sementara.
Ia menyebabkan penerbangan yang menggunakan ruang udara itu terjejas dan terpaksa dibatalkan atau terpaksa mengubah laluan. – UTUSAN