Singapura negara paling selamat di Asia, keenam di dunia

Singapura negara paling selamat di Asia, keenam di dunia

ORANG ramai berkumpul di tepi Marina Bay ketika sebuah bot melintasi kawasan perairan di pusat bandar Singapura.–AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Singapura menjadi satu-satunya negara Asia yang tersenarai dalam 10 negara paling selamat di dunia sementara Malaysia berada di tempat ke-12 menerusi data Indeks Keamanan Global (GPI) 2025 yang diterbitkan baru-baru ini.

Menurut indeks tersebut, jumlah konflik melibatkan negara kini berada pada tahap tertinggi sejak Perang Dunia Kedua, dengan tiga lagi konflik baharu tercetus tahun ini, menyebabkan banyak negara bertindak balas dengan meningkatkan tahap ketenteraan.

GPI yang diterbitkan oleh Institute for Economics & Peace menilai 23 indikator termasuk konflik antarabangsa, perbelanjaan ketenteraan, keselamatan awam, kadar keganasan dan ancaman keganasan.

SINGAPURA

Kekal di tempat keenam, Singapura turut meninggalkan Jepun di tangga ke-13 selepas meraih skor tinggi dalam keselamatan dan sekuriti walaupun mencatat antara perbelanjaan ketenteraan per kapita tertinggi di dunia.

Ketiadaan konflik berterusan dan tahap keselamatan dalaman yang tinggi memberikan rasa aman kepada kebanyakan penduduk.

“Saya mampu berjalan sendirian ketika lewat malam tanpa rasa takut. Pulang ke rumah tidak terasa mendebarkan seperti di kebanyakan bandar besar. Wujud kepercayaan sepenuhnya terhadap sistem di sini dan itu mewujudkan persekitaran yang tenang dan saling mengambil berat,” kata seorang penduduk, Xinrun Han.

Han turut menggalakkan pelawat menikmati kebebasan bergerak yang datang bersama keselamatan di Singapura itu, seperti berjalan di tepi sungai pada pukul 2 pagi, membeli makanan jalanan lewat malam atau mengunjungi taman ketika waktu malam.

ICELAND

Iceland pula kekal di tempat pertama sejak 2008, terus menjadi negara paling aman di dunia, mendahului dalam semua tiga domain keselamatan dan sekuriti, konflik semasa serta tahap ketenteraan.

Tahun ini, Iceland mencatat peningkatan dua peratus, sekali gus melebarkan jurang dengan negara di tempat kedua.

“Walaupun cuaca ekstrem, terutama pada musim sejuk yang tidak selalu mewujudkan rasa selamat, tetapi komuniti di sini yang membuatkan kami berasa tenang.

“Anda boleh berjalan seorang diri pada waktu malam tanpa rasa bimbang. Bayi-bayi tidur lena dalam kereta sorong di luar kafe ketika ibu bapa mereka makan atau menjalankan urusan dan polis tempatan tidak membawa senjata api,” kata Pengurus Besar Intrepid Travel North Europe, Inga Rós Antoníusdóttir.

Menurut beliau, dasar kesaksamaan gender yang kukuh turut menyumbang kepada keselamatan wanita sementara peluang sama rata dan sistem sosial yang mantap mewujudkan masyarakat yang lebih adil serta selamat untuk semua.

Malah, Antoníusdóttir mencadangkan pelancong merasai ketenangan dalaman Iceland melalui kegiatan harian penduduk.

“Pergilah berenang di kolam geoterma dan berbual dengan orang tempatan atau mendaki gunung sama ada Esja berhampiran Reykjavik atau laluan berhari-hari di dataran tinggi. Iceland sebenar ada pada seni, muzik dan alamnya, dalam apa jua cuaca,” jelasnya.

IRELAND

Walaupun pernah melalui konflik pada akhir abad ke-20, Ireland kini menjadikan keamanan sebagai keutamaan untuk kekal berada di tempat kedua.

Negara ini mencatat skor tinggi dalam pengurangan ketenteraan dan berada antara negara dengan paling sedikit konflik domestik dan antarabangsa. Ia juga berada dalam 10 teratas bagi keselamatan masyarakat, termasuk persepsi rendah terhadap jenayah dan keganasan.

“Rasa komuniti yang kuat membuatkan anda dialu-alukan, sama ada di bandar kecil mahupun bandar besar. Penduduk saling menjaga di sini. Anda boleh minta tolong sesiapa dan mereka akan berusaha membantu.

“Ia selalu mengejutkan tetamu betapa ramahnya orang Ireland. Bagi kami, itu memang sifat semula jadi,” kata Pengarah Pengalaman Kilkea Castle, Jack Fitzsimons.

Menurutnya, sistem sokongan sosial yang baik dan fokus terhadap kebajikan komuniti berjaya mengurangkan jurang dan ketegangan di negara itu.

Gaya hidup santai Ireland turut mendorong rasa aman kerana penduduknya tidak pernah jauh dari istana, hutan yang tenang atau sesi muzik tradisional. Hidup bergerak perlahan dan orang masih menghargai perbualan serta cerita.

Di peringkat global, Ireland mengekalkan dasar ketenteraan neutral, menjadikannya satu daripada empat negara Eropah yang bukan ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang lebih mengutamakan diplomasi.

Di dalam negara, pemuliharaan alam sekitar dan tapak budaya diberi keutamaan dan hospitaliti penduduk memastikan pelawat sentiasa berasa diterima.

NEW ZEALAND

Tahun ini New Zealand naik dua tangga ke tempat ketiga, dengan peningkatan dalam keselamatan dan sekuriti serta pengurangan demonstrasi dan impak berkaitan keganasan.

Sebagai negara pulau di Pasifik, kedudukannya memberikan perlindungan semula jadi daripada konflik luar. Namun dasar domestik juga menyumbang kepada keamanan.

Selain jaringan keselamatan sosial yang baik dan akses kepada penjagaan kesihatan universal, masyarakat New Zealand sangat menghargai hubungan dengan alam. Festival dan acara keluarga turut menyerikan suasana, menjadikan pengunjung merasai komuniti yang mesra.

“Undang-undang senjata api New Zealand antara yang paling ketat di dunia dan menjadi penyumbang besar kepada rasa selamat. Di sini, kanak-kanak berjalan ke sekolah tanpa rasa takut, pintu rumah dibiarkan tidak berkunci dan pemandu berhenti membantu jika kereta rosak di tepi jalan.

“Ada kepercayaan mendalam terhadap orang sekeliling dan sistem yang wujud, dan itu membina komuniti yang kukuh.

“Selain landskap yang indah, masyarakat di New Zealand adalah kekuatan sebenar negara ini. Ramai pelawat mengakui apa yang paling mereka ingat adalah perasaan selamat dan diterima,” kata warga tempatan dan Pengarah Pengalaman Pelanggan Greener Pastures, Mischa Mannix-Opie.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN