KULAI: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut setelah motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah kereta di Kilometer 46.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan berlaku pada pukul 1.56 pagi ketika mangsa bersama dua rakan berusia 17 dan 19 tahun yang menunggang motosikal masing-masing secara laju.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC melanggar bahagian belakang kereta Honda CR-V yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang sedang bergerak lurus.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang terbabit hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya. Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan.
Seng Lee berkata, kejadian itu turut menyebabkan dua rakannya yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan Y15ZR hilang kawalan dan turut terjatuh.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” katanya.
Tambahnya, rakan mangsa mengalami kecederaan patah kaki kanan serta luka di tangan manakala seorang lagi hanya mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan serta dirawat sebagai pesakit luar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan. – UTUSAN