Lebih RM2.6 juta transaksi BUDI95 pada hari pertama

Lebih RM2.6 juta transaksi BUDI95 pada hari pertama

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih RM2.6 juta pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter direkodkan pada hari pertama pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) kelmarin.

Kementerian Kewangan berkata, jumlah tersebut melibatkan pembelian kira-kira 1.3 juta liter petrol melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan kumpulan pertama menikmati inisiatif berkenaan.

“Berdasarkan laporan di lapangan, urusan BUDI95 berjalan lancar dengan sistem stabil dan pembacaan MyKad di terminal stesen minyak beroperasi dengan baik,” katanya dalam kenyataan semalam.

BUDI95 juga diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40 bermula semalam sebelum dilaksanakan sepenuhnya kepada 16 juta rakyat Malaysia esok.

Sementara itu, tinjauan pelaksanaan hari kedua inisiatif BUDI95 menyaksikan penerima STR yang mula menikmati kemudahan tersebut di beberapa stesen minyak sekitar Kuala Nerus, Terengganu mendapati keadaan berjalan lancar.

Mohd. Khairul Azhar, 38, berkata, proses mengisi minyak menggunakan MyKad yang didaftarkan sebagai penerima STR sangat mudah dan tidak mengambil masa lama.

“Saya hanya serahkan MyKad kepada juruwang, mereka masukkan jumlah dalam sistem dan kita boleh terus isi minyak dengan harga subsidi. Memang sekejap sahaja prosesnya,” katanya ketika ditemui.

Sebaliknya, masih ada penerima STR yang belum mengetahui mereka boleh mula menggunakan BUDI95.

Mat Zuki Che Man, 49, merupakan penerima STR berkata, dia hanya mengetahui mengenai BUDI95 selepas dimaklumkan petugas stesen minyak.

“Saya tidak tahu boleh gunakan. Cuma tadi ada pekerja bantu dan saya lihat prosesnya sama sahaja seperti sebelum ini cuma perlu keluarkan MyKad. Prosesnya tidak perlu menunggu lama dan kita boleh gunakan minyak dengan harga subsidi lebih murah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×