Rekod untung tinggi, PBAPP masih perlu RM1b untuk siapkan projek air

Rekod untung tinggi, PBAPP masih perlu RM1b untuk siapkan projek air

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 PBAHB di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : PBA Holdings Berhad (PBAHB) dan anak syarikat penuh miliknya iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berjaya merekodkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah 26 tahun penubuhan syarikat itu sepanjang tahun lepas.

Keuntungan sebanyak RM144.167 juta itu merupakan peningkatan sebanyak 319.7 peratus berbanding keuntungan bersih yang dicatatkan pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM34.348 juta.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAPP, Chow Kon Yeow berkata, walaupun pencapaian itu dianggap membanggakan, namun, ia bukan bertujuan mengisi tabung kewangan PBAHB atau mengkayakan syarikat.

“Untuk makluman, PBAPP perlu melabur kira-kira RM2.099 bilion bagi menyiapkan enam projek infrastruktur bekalan air baharu di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030).

“Perbelanjaan modal (capex) PBAPP yang diunjurkan bagi menaik taraf infrastruktur sedia ada pula ialah sebanyak RM86.8 juta pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 PBAHB di sini, hari ini.

Jelas beliau, walaupun Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah bersetuju untuk menyediakan kemudahan pajakan jangka panjang bagi dua projek WCP 2030, PBAHB dan PBAPP masih perlu mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi membolehkan beberapa projek mega air di negeri ini dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2030.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, PBAPP juga berjaya merekodkan purata pengeluaran air terawat sebanyak 1,208 juta liter sehari (JLH) iaitu jumlah pengeluaran air terawat terbesar dalam sejarah bekalan air di negeri itu setakat ini.

“Selain itu, PBAPP juga kini mempunyai kapasiti reka bentuk maksimum sebanyak 1,726 JLH bagi pengeluaran air terawat dengan pembukaan Pakej 12A Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada September tahun lalu.

“Dengan kapasiti rawatan air sebanyak ini (1,726 JLH) dan pengeluaran air terawat sebanyak 1,208 JLH pada 2024, kita telah mencapai margin rizab rawatan air sebanyak 30 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow memaklumkan, AGM ke-25 itu sebulat suara telah meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 2.25 sen sesaham.

Katanya, jumlah pembayaran yang diunjurkan kepada 7,157 pemegang saham ialah sebanyak RM7.5 juta pada 1 Ogos depan dan ini merupakan tahun ke-24 berturut-turut PBAHB membayar dividen kepada para pemegang sahamnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN