JASIN: Ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menolak melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, setakat ini hanya 3,000 daripada 9,532 pelajar menerima tawaran daripada Unit Pusat Universiti (UPU) dan Dermasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, baki lebih 6,000 orang dilihat lebih cenderung memilih tingkatan enam sebagai laluan untuk ke peringkat sarjana muda.
“Jadi situasi ini agak menggusarkan ke mana perginya 6,000 itu, kenapa mereka masih lagi belum menerima masuk? Walaupun tarikh tutup rayuan UPU dan Dermasiswa JPA hari ini.
“Jadi kemungkinan mereka tidak dapat dan kemungkinan mereka tidak memahami dan juga tidak membuat keputusan yang baik dalam memilih aliran. Sebab bila saya siasat ada yang memilih ke tingkatan enam berbanding mengambil aliran TVET yang ditawarkan.
“Jadi saya harap supaya semua ibu bapa pelajar menyemak kembali tawaran tersebut sebab ada disebut Dermasiswa JPA, Dermasiswa TVET Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau daripada Yayasan Tenaga Nasional,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Malaysia FIRA Roboworld 2025 di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.
Mustapha berkata, ibu bapa dan pelajar diminta berfikir dengan sebaiknya kerana tawaran TVET menawarkan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan.
Katanya, antara yang ditanggung sepenuhnya oleh kementerian adalah seperti yuran pengajian, elaun dan bayaran insentif.
“Minat pelajar melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam bukan tidak baik tetapi TVET adalah bidang yang amat diperlukan oleh negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir,” katanya. – UTUSAN