Ramai jadi mangsa agensi itu, ada bayaran tertunggak RM80,000 - Haneesya Hanee - Utusan Malaysia

Ramai jadi mangsa agensi itu, ada bayaran tertunggak RM80,000 – Haneesya Hanee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejak memuat naik cerita mengenai sebuah agensi yang gagal melunaskan bayaran, pelakon, Hanessya Hanee, menerima banyak mesej di media sosial daripada pempengaruh dan selebriti berkongsi nasib serupa. 

Jelas Haneesya atau Sharifah Haneesya Hanee Syed Sahlan, 25, dia tidak menyangka agensi berkenaan telah memanipulasi ramai individu termasuklah berhutang dengan seorang selebriti sehingga mencecah RM80,000.

Saya tidak sangka pula bila ‘google’ nama agensi itu, sudah banyak berita tentang mereka. Dalam kes saya, katanya lepas muat naik dua buah video, saya akan menerima bayaran RM1,000 dan hadiah berupa barangan produk tersebut.

“Tapi lepas dua minggu saya tanya, mereka kata tunda. Lepas sebulan saya tanya lagi, dia kata akan bagi pada 20 haribulan. Bila saya telefon dan mesej, tiada respons. 

“Bila saya muat naik mengenai perkara itu, rupanya ramai pempengaruh dan artis terkena benda sama ada sampai tak dapat bayaran berjumlah RM80,000. 

“Kalau yang RM80,000 pun tak dapat bayaran, apalagi saya yang hanya RM1,000. Jadi saya batalkan hasrat untuk buat laporan polis kerana rasa buang masa,” katanya.

Haneesya ditemui Utusan Malaysia di sesi ramah mesra bersama pelakon drama Aku Bukan Ustazah 2 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Enggan melatah, pelakon Aku Bukan Ustazah itu mengambil iktibar daripada kejadian ini dan merancang untuk meminta wang deposit sekiranya melibatkan jumlah yang besar. 

“Sepanjang saya buat kerja ‘review’ produk di media sosial, ini kali pertama saya terkena sebegini. Tak mengapalah, setidaknya saya belajar sesuatu daripada kejadian ini. 

“Mungkin selepas ini saya lebih berhati-hati dan minta separuh dahulu wang sebagai deposit bagi mengelak perkara sebegini terjadi,” jelasnya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram Story, Haneesya memaklumkan dirinya berasa tertipu apabila sebuah agensi gagal melunaskan bayaran RM1,000 untuk kerja mempromosi produk.

Ketika itu, Haneesya memaklumkan akan membuat laporan polis sekiranya agensi tersebut gagal melunaskan bayaran dalam tempoh dua hari. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN