Caj rawatan RM1 terlalu murah, rakyat sokong disemak semula

Caj rawatan RM1 terlalu murah, rakyat sokong disemak semula

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai bersetuju dengan cadangan agar kadar caj rawatan RM1 di hospital kerajaan dinaikkan RM10 kerana fi sedia ada disifatkan terlalu rendah.

Menurut mereka, kadar yang rendah itu juga dianggap antara punca utama kesesakan dan tekanan terhadap mutu perkhidmatan kesihatan awam negara.

Pelajar latihan industri, Azad Zuhairi, 22, menyifatkan langkah mengkaji semula kadar itu sebagai tindakan ke hadapan sekiranya dilaksanakan namun ia perlu dilakukan dengan teliti tanpa menindas mana-mana golongan.

“Kebanyakan golongan B40 memang banyak bergantung kepada hospital kerajaan. Kalau naikkan caj, biarlah berbaloi termasuk rawatan lebih cepat, ubat mencukupi dan kemudahan lebih selesa,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, ke­sesakan hospital tidak berpunca daripada caj murah semata-mata, sebaliknya kekurangan fasiliti dan gaya hidup rakyat yang tidak sihat turut menyumbang.

Seorang mahasiswi, Nur Batrisya Firdaus, 22, pula berpendapat caj baharu hanya wajar dikenakan kepada golongan M40 dan T20 bagi mengumpul dana meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

“Caj ikut taraf pendapatan lebih adil. Tetapi kalau bermula RM10 terlalu tinggi, terutamanya untuk pesakit yang perlu rawatan susulan berulang kali. Kena pastikan bayaran setimpal dengan perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan cadangan agar kadar caj rawatan di klinik dan hospital kerajaan disemak semula supaya lebih adil kepada rakyat berpendapatan rendah.

Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Razli Ramli, mencadangkan pelaksanaan caj berperingkat mengikut kategori pendapatan supaya sistem lebih mampan.

Pesara kerajaan, Rubita Hani, 62, mencadangkan kerajaan mengekalkan caj RM1 hingga RM2 untuk pesakit berumur 60 tahun ke atas manakala kadar baharu hanya dikenakan kepada golongan muda yang masih bekerja.

“Yang bawah 60 tahun bolehlah naik sedikit sebab mereka masih mampu bekerja. Tetapi warga emas biarlah percuma atau caj rendah sebab ramai tiada insurans,” katanya.

Beliau mengakui mutu perkhidmatan hospital kerajaan semakin baik, namun isu masa menunggu panjang masih perlu diatasi dengan menambah kakitangan serta kemudahan baharu.

Pesara pembantu juruteknik, Devaraj, 68, pula tidak bersetuju dengan kenaikan caj kerana bimbang ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah yang bergantung sepenuhnya kepada hospital kerajaan.

“Kerajaan kata mahu tingkatkan mutu perkhidmatan, tetapi janganlah naikkan caj. Cari jalan lain seperti tambah peruntukan bajet atau urus kewangan de­ngan lebih baik,” katanya.

Bagi suri rumah, Normala, 52, cadangan menaikkan caj dilihat tidak wajar kerana kos sara hidup kini sudah cukup menekan.

“Saya rasa tak patut caj ikut gaji. Sekarang pun semua sudah mahal. Kalau naik caj hospital, makin tertekanlah rakyat,” katanya.

Menurutnya, caj murah bukan penyebab utama kesesakan hospital, sebaliknya peningkatan penyakit kronik dan kekurangan fasiliti kesihatan awam menjadi punca sebenar.

Beliau turut mencadangkan kadar lebih tinggi hanya dikenakan kepada pesakit warga asing, manakala rakyat tempatan kekal menikmati caj RM1. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN