‘Diseret 200 meter,disuruh melutut sejam’

‘Diseret 200 meter, disuruh melutut sejam’

Sembilan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Freedom Flotila Coalition (FCC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Saya diseret kira-kira 200 meter dan disuruh melutut selama satu jam dengan tangan dilipat ke belakang hingga mahu patah.”

Itu pengalaman ngeri dikongsikan oleh salah seorang aktivis Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Miles to Gaza (TMTG), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, selepas selamat tiba di tanah air petang semalam.

Katanya, setelah kapal yang dinaiki ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Gaza sebelum kese­mua aktivis dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan kemudiannya dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.

“Saya antara yang diseret keluar kapal selepas hampir 14 jam ditahan di tengah laut.

“Mereka arahkan kami melutut di atas jalan batu selama sejam, tangan diikat ke belakang, lutut memang terasa sakit tetapi saya tahu ada aktivis dari negara lain yang lebih teruk dipukul dan ditendang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dr. Alauddin yang menge­tuai sembilan wakil Malaysia berkata, walaupun berdepan kekasaran fizikal, beliau dan rakan aktivis tetap tenang serta tidak pernah menyesal menyertai misi kemanusiaan tersebut.

“Kalau dibandingkan pende­ritaan kami, ia sangat kecil berbanding apa yang rakyat Gaza hadapi setiap hari. Kami hanya ditahan beberapa hari, sedangkan mereka dizalimi berbulan-bulan tanpa henti,” katanya.

Beliau turut menjelaskan sepanjang misi itu, tiada sebarang insiden sabotaj berlaku dalam kalangan peserta, malah semua peserta dipilih dengan teliti oleh penganjur antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesatuan pasukan terjamin.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya mengesahkan kesemua sembilan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel telah selamat tiba di KLIA Terminal 1 pada pukul 3.55 petang, dalam keadaan sihat dan stabil.

Misi kemanusiaan FFC dan TMTG dipintas oleh tentera Israel pada 8 Oktober lalu ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Semenanjung Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN