Produksi buat uji bakat lakonan sempena teater Persiapan Seorang Aktor - Utusan Malaysia

Produksi buat uji bakat lakonan sempena teater Persiapan Seorang Aktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengurus syarikat produksi Mask Team, Juan Ab Aziz, berkata pihaknya akan mengadakan sesi uji bakat mencari pelakon baharu sempena pementasan teater Persiapan Seorang Aktor bermula 17 Julai ini. 

Jelas Juan, usaha itu dilakukan dengan kerjasama sebuah syarikat produksi drama dan filem bagi mencari pelapis baharu industri seni lakon di Malaysia.

“Bagi memeriahkan pementasan teater, kami juga akan mengadakan sesi uji bakat lakonan buat pengunjung. Sesi itu akan dikendalikan oleh sebuah rumah produksi drama dan filem yang akan kami umumkan lebih terperinci di media sosial. 

“Sesu uji bakat akan diadakan pada sebelah pagi, setiap hari pementasan iaitu 17 hingga 20 Julai ini. Kita mahu berikan wajah baru pelakon pelapis di Malaysia. Selepas uji bakat, mereka boleh melihat sendiri perjalanan bergelar seorang pelakon menerusi teater ini,” katanya.

Juan ditemui Utusan Malaysia semasa sesi sidang media Persiapan Seorang Aktor di Sudu House, baru-baru ini. 

Turut hadir di sesi tersebut ialah pengarah teater, Dr Syahrul Musa serta barisan pelakon iaitu Nam Ron, Fazleena Hishamuddin dan Aloy Paradoks.

Bukan itu sahaja, menurut Juan, pihaknya berpandangan, kolektif teater di Malaysia perlu mendapatkan sokongan promosi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke pementasan.

“Kami faham cabaran bidang teater di Malaysia sangat berlainan, terutama jika mahu bandingkan sambutannya dengan program hiburan.

“Kami sendiri ramai kawan daripada penggiat seni teater dan faham cabaran mereka khususnya dari aspek komersial.

“Inilah sebabnya kami sedaya upaya terbitkan juga teater sekurang-kurangnya setahun sekali. Bukan sebab duit sebaliknya rasa tanggungjawab kami kepada industri seni,” katanya.

Dalam pada itu, Juan menerusi syarikat produksi Mask Team, membawakan teater Persiapan Seorang Aktor yang sebelum ini memenangi anugerah BOH Cameronian Arts Awards ke-20.

Persiapan Seorang Aktor menceritakan kepayahan seorang pelakon, Sadiq Saufi yang berjuang menghidupkan karakter Hamlet. 

Dengan bajet lebih besar, teater Persiapan Seorang Aktor bakal berlangsung empat hari bermula 17 Julai di Performance Arts Centre (PJPAC) dengan iringan pemuzik. 

Terdahulu, teater ini pernah dipentaskan kali pertama di Studio Sedar Ruang, Shah Alam pada 2024. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN