TIBA-TIBA muncul satu gagasan baharu yang dinamakan ‘payung besar’. Ramai yang tertanya-tanya adakah ini sebuah parti politik baharu?
Pertamanya, ‘payung besar’ adalah kesinambungan Proklamasi Orang Melayu.
Keduanya, ‘payung besar’ bukan sebuah parti politik. Sebaliknya, ia diwujudkan untuk menyatukan seluruh orang Melayu yang memiliki kesedaran dan matlamat yang sama untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta memelihara maruah bangsa Melayu dan agama Islam sebagai teras negara ini.
‘Payung besar’ bukan wadah untuk menambah perpecahan tetapi konsep penyatuan bangsa. Di bawah ‘payung besar’, semua pemimpin Melayu tidak membawa ideologi politik masing-masing. Ia bukan gelanggang untuk bersaing, tetapi ruang penyatuan yang melangkaui batas kepartian dan organisasi.
Tujuannya jelas untuk mengembalikan kekuatan politik dan perpaduan bangsa Melayu demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta maruah Islam di bumi bertuah ini.
Penting difahami, ‘payung besar’ tidak bermusuh dengan mana-mana kaum bukan Melayu. Gagasan ini hanya fokus isu melibatkan bangsa Melayu dan usaha mempertahankan hak-hak yang dijamin Perlembagaan. Malah, ada juga rakan bukan Melayu yang memahami pengukuhan orang Melayu akan membawa kestabilan, keamanan dan keharmonian untuk seluruh rakyat Malaysia.
Sejarah ratusan tahun pemerintahan kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu membuktikan perkara ini.
Namun, dalam keadaan orang Melayu yang semakin berpecah dan hilang tumpuan, pelbagai cabaran mula timbul. Kuasa politik Orang Melayu juga dilihat terhakis secara halus.
Atas kesedaran inilah, ‘payung besar’ diwujudkan. Sudah tiba masanya kita mengetepikan perbezaan ideologi politik dan perjuangan peribadi demi satu fokus utama untuk memperkukuh perpaduan Melayu bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, maruah bangsa dan kedaulatan agama Islam.
‘Payung besar’ adalah benteng terakhir penyatuan bangsa, tempat orang Melayu berteduh, bersatu dan bangkit semula mempertahankan agama, bangsa dan tanah airnya.-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu










