Polis Perlis rampas dadah RM13.14 juta dalam kereta

Polis Perlis rampas dadah RM13.14 juta dalam kereta

MUHAMMAD Abdul Halim (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas menerusi pemeriksaan sebuah kereta sekitar Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar dalam sidang akhbar di IPK Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis negeri berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 365 kilogram (kg) dianggar bernilai RM13.14 juta menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan sekitar Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar, semalam. 

Menerusi pemeriksaan sekitar pukul 3.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan bersama kereta jenis Proton Waja. 

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, sebanyak 17 guni berjahit telah ditemukan di dalam kenderaan tersebut yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 365 kg dengan nilai kira-kira RM13.14 juta.

Katanya, modus operandi suspek dipercayai dengan menggunakan kawasan hutan di sekitar Padang Besar untuk dijadikan sebagai transit sebelum bekalan dihantar ke selatan tanah air.

“Polis percaya dadah tersebut dibawa masuk secara berperingkat untuk dikumpulkan sebelum diedarkan oleh sindiket ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini. 

Muhammad berkata, siasatan awal mendapati jumlah keseluruhan rampasan berkenaan dapat digunakan seramai kira-kira 3.6 juta penagih. 

Katanya, saringan awal juga mendapati suspek ditahan positif Methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 

“Suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Polis juga sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya. 

Dalam perkembangan berlainan, Muhammad berkata, polis turut berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun di Taman Singgah Sana, Padang Besar, bersama dua ketulan mampat dipercayai ganja, sekitar pukul 2.15 pagi, semalam. 

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ketulan mampat ganja itu disembunyikan dalam sebuah tong sampah dan dianggarkan bernilai RM6,200. 

“Saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 20,000 penagih.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN