Cubaan ceroboh KLIA

Cubaan ceroboh KLIA

KDN akan melaksanakan fasa pertama Advance Passenger Screening System (APSS) mulai esok melibatkan 10 buah syarikat penerbangan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cubaan warga asing masuk negara ini secara haram melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semakin meningkat terutama ketika waktu puncak dan musim cuti umum.

Kelmarin, seramai 279 warga asing terdiri daripada rakyat Bang­ladesh, Pakistan dan India, cuba masuk ke negara ini secara haram melalui KLIA, namun berjaya disekat oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sem­padan Malaysia (AKPS).

Pengusiran warga asing ter­babit merupakan rekod harian tertinggi kes ‘Not To Land (NTL) direkodkan oleh AKPS sejak penubuhannya pada 2023.

Bulan lalu sahaja, hampir 300 warga asing diarah pulang selepas mereka tidak memenuhi syarat untuk memasuki negara ini. Ia hasil pemeriksaan ke atas beratus-ratus warga asing yang tiba di KLIA.

AKPS turut melaporkan seramai 25 warganegara asing ditahan di KLIA antara Januari hingga April 2025 ketika cuba keluar dari Malaysia, manakala empat orang pegawai pula disiasat kerana didakwa bersubahat membantu warganegara asing melepasi pemeriksaan imigre­sen dalam tempoh sama.

 

ZAKARIA SHAABAN

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pengarah Jabatan Imig­resen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban mengakui ke­gia­tan ‘counter setting’ masih ber­laku di pintu-pintu masuk ne­gara termasuk KLIA, berda­sar­kan tangkapan dan risikan pi­­hak­nya dan Suruhanjaya Pen­­ce­gahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tahun lalu, seramai 50 pegawai penguatkuasa Imigresen yang bertugas di KLIA ditahan SPRM ekoran bersekongkol de­ngan sindiket ‘counter setting’.

Kesemua mereka ditahan SPRM menerusi tiga operasi iaitu Ops Pump, Ops Setting dan Ops Pump 2.0 kerana membawa masuk pekerja asing melalui kaunter tertentu tanpa pemeriksaan yang
ditetapkan JIM.

Menurut Zakaria, sindiket akan cuba menyeludup masuk warga asing melalui ‘counter setting’ dengan menyasarkan individu yang disenarai hitam untuk masuk semula ke Malaysia menerusi
bantuan dalaman.

“Mereka menunggu isyarat tertentu sebelum menuju ke kaunter imigresen yang telah ditetapkan, dengan harapan mendapat pelepasan masuk secara tidak sah.

“Malah sindiket turut mengatur pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk melalui negara jiran dengan menggunakan pasport yang mempunyai cop palsu kemudian menaiki bas ke
ibu negara untuk mengelakkan pemeriksaan imigresen,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagi mengatasi isu terbabit kata Zakaria, pihaknya kini beralih kepada penggunaan sistem digital sepenuhnya iaitu digital e-pass dan e-gate.

“Kalau PATI sebelum masuk melalui pintu tidak sah, kita akan senarai hitam dan jika cuba masuk, kita akan beri NTL,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas diambil kepada mana-mana anggota dan pegawai imigresen yang dikesan bersekongkol dengan sindiket bagi membawa masuk warga asing.

“Seramai 274 anggota dengan pegawai JIM telah diambil tindakan yang terpalit salah laku hingga tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tugas kawalan sempadan dan pintu masuk ke negara ini perlu dipertanggungjawabkan kepada AKPS sepenuhnya bagi memastikan sindiket berkenaan lumpuh.

“Tanggung jawab sepenuhnya perlu diberikan kepada AKPS untuk menjaga semua pintu masuk ke negara ini. Walaupun pertukaran pegawai dibuat dengan lebih kerap lagi, usaha membanteras sindiket ‘counter-setting’ dilihat sukar.

“Dalang sudah mengetahui selok belok bagaimana untuk membawa masuk warga asing secara haram walaupun pegawai kerap kali ditukar. Jadi, AKPS perlu ambil alih peranan JIM,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN