Tujuh penjara usang tidak selamat

Tujuh penjara usang tidak selamat

ABDUL AZIZ ABDUL RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak tujuh penjara berusia lebih 100 tahun yang menempatkan 7,570 banduan dikenal pasti tidak lagi selamat untuk diduduki ekoran keadaan yang sudah usang dan perlu dibina baharu.

Tujuh penjara tersebut iaitu Penjara Reman Pulau Pinang, Penjara Taiping, Perak; Penjara Seremban, Negeri Sembilan; Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah, Perak; Penjara Pusat Sibu, Sarawak; Penjara Sungai Petani dan Penjara Alor Setar, Kedah.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, penggantian penjara usang perlu memandangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menasihatkan agar bangunan itu tidak boleh lagi dibaik pulih kerana diragui tahap keselamatan. 

Beliau berkata, penjara-penjara ini masih menempatkan banduan untuk menjalani hukuman kerana ketiadaan penempatan lain.

Katanya, selain tujuh penjara usang itu, terdapat juga enam penjara yang masih menggunakan ‘bucket system’ atau sel yang tidak mempunyai kemudahan tandas dan hanya menggunakan tong najis.

“Enam penjara yang masih menggunakan bucket system iaitu di Penjara Taiping, Penjara Reman Pulau Pinang, Penjara Seremban, PPA Batu Gajah, Penjara Alor Setar dan Penjara Sibu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Aziz berkata, penjara usang tersebut juga mengalami kepadatan penghuni memandangkan sel sedia ada begitu terhad.

Beliau berkata, sebagai contoh Penjara Taiping yang mempunyai kapasiti 1,480 tetapi jumlah banduan yang ada kini seramai 1,620 orang.

“Begitu juga Penjara Alor Setar iaitu kapasiti sebenar adalah 1,830 tetapi jumlah banduan yang ada ketika ini adalah 2,473.

“Jadi, penjara-penjara ini perlu pembinaan semula kerana kalau kita baiki keadaan tetap sama. Penggantian penjara ini perlu lebih moden dan berperikemanusiaan. Jika tidak dibina baharu, keadaan ini sekali gus menyebabkan program pemulihan pemenjaraan akan tergendala.

“Kalau penjara sesak, sudah pasti nyawa penghuni akan terancam memandangkan me­reka datang dari latar belakang berbeza,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya kini sedang menyakinkan kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk penggantian penjara usang.

“Penggantian penjara usang ini sedang dilakukan kita bersama-sama Kementerian Dalam Negeri mengikut fasa.

“Kita juga faham untuk membina penjara baharu ini memerlukan kos. Justeru itu, daripada enam penjara yang dikesan, kita ganti Penjara Pulau Pinang terlebih dahulu kerana bangunan ini mempunyai nilai sejarah,” ujarnya.

Katanya, hasil perbincangan menemukan titik penyelesaian dan dibenarkan sebahagian penjara Pulau Pinang dikekalkan sebagai bangunan bersejarah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×