PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama (S1) 2025 berakhir 31 Mac.
Pendapatan pelaburan tersebut bagaimanapun turun 13 peratus berbanding RM20.99 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun 2024.
Jumlah itu termasuk keuntungan sekuriti sebanyak RM1.02 bilion yang belum direalisasikan, kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.
Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan itu tidak akan diagihkan sebagai dividen.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pasaran global menjadi tidak menentu pada awal 2025, berikutan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak dan ketidaktentuan dasar.
Katanya, walaupun pengumuman tarif dibuat oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pada 2 April, ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan AS telah mula memberi kesan kepada pasaran saham utama sepanjang suku dilaporkan.
“Walaupun tekanan inflasi semakin menurun di beberapa ekonomi, pelonggaran dasar monetari mengikut rantau adalah berbeza pada kadar dan masa, sekali gus menjejaskan tahap penerimaan risiko.
“Portfolio global KWSP yang pelbagai telah mengurangkan impak tersebut dan memastikan ia terus berada di landasan yang tepat untuk mencipta nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
KWSP berkata, dalam suku dikaji, ekuiti menyumbang sebanyak RM10.81 bilion, susut 23 peratus daripada RM14.02 bilion pada suku pertama 2024.
Jelasnya, penurunan disebabkan prestasi yang lebih lemah di pasaran ekuiti global dan persekitaran pelaburan yang mencabar dan kelas aset itu terus menjadi penyumbang terbesar, merangkumi 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dana pencen itu.
“Instrumen pendapatan tetap terus menjadi tonggak pemeliharaan modal, menyumbang sebanyak RM5.99 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
“Instrumen pendapatan tetap merangkumi sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, kekal memenuhi dua mandatnya iaitu memberikan pulangan yang stabil dan mengimbangkan turun naik pasaran ekuiti. Ini menunjukkan kepentingan strategiknya dalam melindungi simpanan ahli sepanjang kitaran pasaran.
“Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.08 bilion pada suku pertama 2025, manakala instrumen pasaran wang menjana sebanyak RM0.43 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan untuk kelas aset ini,” ujarnya.
Dana persaraan itu berkata, daripada jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM15.87 bilion telah dijana untuk simpanan konvensional, manakala RM2.44 bilion untuk simpanan syariah.
“Sehingga Mac 2025, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.26 trilion, dengan 38 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara. Sepanjang tempoh tersebut, pelaburan luar negara telah menjana RM8 bilion atau 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
“Pelaburan domestik KWSP merangkumi 62 peratus daripada jumlah aset, terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui dividen, faedah dan keuntungan daripada sukuk,” jelasnya.
KWSP kekal komited menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus melabur lebih 70 peratus daripada peruntukan tahunannya dalam pasaran domestik.
Dalam tempoh dikaji, KWSP telah mendaftarkan 140,111 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan keahlian meningkat kepada 16.3 juta.
“Daripada jumlah ini, 8.88 juta adalah ahli aktif, mewakili 51.3 peratus daripada 17.31 juta tenaga buruh. Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 54:46 pada suku pertama 2025.
“Pendaftaran majikan baharu berjumlah 19,600 pada suku pertama 2025, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat kepada 616,558,” katanya.
Tambahnya, jumlah caruman pula meningkat sebanyak 15.1 peratus kepada RM33.54 bilion, berbanding RM29.13 bilion suku pertama 2024, manakala jumlah caruman sukarela meningkat 62 peratus kepada RM7.02 bilion, berbanding RM4.33 bilion dicatatkan tahun sebelumnya.
Bilangan ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun adalah sebanyak 10,990 pada suku tersebut, berbanding 6,771 tempoh yang sama tahun lalu. – UTUSAN










