PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Lee Jae Myung atas pelantikannya sebagai Presiden Korea Selatan yang baharu.
Anwar berkata, kemenangan Jae Myung menandankan titik perubahan bagi republik tersebut yang sudah melalui tempoh persaingan sengit dan penilitian mendalam dengan ketabahan serta komitmen terhadap demokrasi.
Katanya rakyat Korea Selatan sudah bersuara menuntut perubahan dan kepercayaan, institusi dan matlamat kebangsaan.
“Saya mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Presiden Lee dalam memperkukuh persahabatan antara negara kita dalam bidang perdagangan dan teknologi, keamanan dan keselamatan serta ikatan kekal antara rakyat kita.
“Hubungan Malaysia-Korea Selatan ditingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik pada November 2024, ia merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan aspirasi bersama kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Jae Myung yang merupakan calon parti berhaluan tengah kiri secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden Korea Selatan selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya tergempar, sekali gus mengambil alih tampuk kepimpinan negara yang sedang bergelut dengan krisis politik berpanjangan.
Jae Myung diumumkan sebagai pemenang awal pagi Rabu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan Korea Selatan mengesahkan keputusan rasmi undian.
Beliau menewaskan pencabar konservatifnya, Kim Moon Soo daripada parti bekas Presiden, Yoon Suk Yeol yang disingkirkan.
Jae Myung memperoleh 49.4 peratus undi, mengatasi Moon Soo yang meraih 41.2 peratus selepas kempennya terjejas akibat perpecahan dalaman parti serta kehadiran calon ketiga yang memecah undi blok kanan.
Anwar berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berharap untuk melihat ASEAN memainkan peranan lebih menonjol dalam tinjauan serantau Korea Selatan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN dan APEC masing-masing pada 2025, Malaysia dan Korea Selatan berada pada kedudukan baik untuk menerajui inisiatif serantau yang berimpak.
“Dalam tempoh kekalutan global, perkongsian yang lebih mendalam antara Asia Tenggara dan Korea Selatan akan menjadi sesuatu yang amat diperlukan untuk kita semua,” katanya.
Anwar menantikan pertemuan bersama Jae Myung di Kuala Lumpur pada Oktober ini sempena Sidang Kemuncak yang diketuai ASEAN.
“Dan sekali lagi di Gyeongju bagi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
“Malaysia mendoakan beliau diberikan kebijaksanaan dan kejayaan dalam perjalanan yang mendatang,” katanya. – UTUSAN