BEIJING: Sekumpulan saintis dari Akademi Sains China di Beijing mengesan sebuah planet luar sistem suria, digelar Kepler-725c, yang dipercayai mampu menyokong kehidupan seumpama di bumi.
Planet tersebut yang terletak kira-kira 2,400 tahun cahaya dari bumi itu diklasifikasikan sebagai ‘super-Bumi’ kerana mempunyai jisim 10 kali ganda lebih besar berbanding planet kita.
Lebih menarik, ia berada dalam zon boleh didiami (habitable zone) iaitu kawasan tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk yang membolehkan air dalam bentuk cecair wujud di permukaannya.
Menurut laporan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Nature Astronomy, Kepler-725c berkemungkinan besar mempunyai air di permukaannya, unsur asas kepada kewujudan kehidupan berasaskan karbon seperti yang wujud di bumi.
Planet berkenaan dipercayai berbatu seperti bumi, serta mempunyai lautan dan kawasan daratan.
Planet tersebut mengelilingi bintangnya setiap 207.5 hari, menjadikan ‘setahun’ di Kepler-725c lebih pendek berbanding Bumi meskipun ia menerima 1.4 kali lebih banyak sinaran suria akibat paksi orbitnya yang berbeza, saintis menjelaskan keadaan itu masih tidak menolak kemungkinan wujudnya kehidupan.
Kepler-725c turut memiliki orbit berbentuk eksentrik, iaitu bukan berbentuk bulat sempurna dan jaraknya dari bintang induk berubah secara ketara mengikut kedudukan orbit.
Bintang induk yang dikenali sebagai Kepler-725 pula jauh lebih muda daripada matahari kita, iaitu berusia hanya 1.6 bilion tahun berbanding matahari yang telah berusia 4.6 bilion tahun.
Para saintis menyatakan Kepler-725c berkemungkinan tergolong dalam kelas baharu planet boleh didiami dikenali sebagai planet Hycean, planet dengan lautan luas dan atmosfera kaya hidrogen yang berpotensi menyokong kehidupan.
Sejak penemuan exoplanet pertama yang mengorbit bintang seperti matahari pada tahun 1995, persoalan tentang kewujudan kehidupan asing terus mencetuskan minat komuniti saintifik dunia.
Lebih tiga dekad kemudian, misteri tersebut masih belum terjawab secara tuntas, namun penemuan planet seperti Kepler-725c dan K2-18b memberikan harapan baharu manusia mungkin tidak keseorangan di alam semesta ini. -AGENSI










