JELI: Masalah kesihatan dan terikat dengan perkerjaan antara alasan yang diberikan oleh para peserta yang gagal melaporkan diri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, bulan lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya melihat perkara itu secara mendalam yang membawa kepada punca sebenar peserta gagal melaporkan diri.
“Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan membentangkan perkara tersebut kepada kerajaan. Ini kerana peserta terikat dengan Akta Khidmat Negara 2003,” katanya kepada pemberita di Program Peduli Veteran Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, di sini hari ini.
Adly berkata, pihaknya telah mengeluarkan senarai nama peserta yang terpilih dan gagal lapor diri.
“Berdasarkan kaedah yang diguna pakai, kita bukan hanya memaklumkan kepada mereka menerusi notis sebaliknya turut berhubung dengan peserta berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN