HULU TERENGGANU: Bermula sekadar minat memelihara ikan sungai, seorang pemuda di Kampung Basung, di sini kini bergelar pembekal ikan kelah yang berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Hong Kong, Thailand dan China.
Muhammad Jailani Mohd. Sabri, 25, berkata, ia bermula kira-kira lapan tahun lalu apabila dia mencari sendiri ikan kelah dari sungai kawasan sekitar dan memeliharanya sebagai hobi.
“Sejak kecil saya sudah didedahkan dengan spesies ikan sungai dan selok-belok kawasan sungai kerana sering ikut ayah bawa bot di Tasik Kenyir. Saya pula hanya bersekolah sehingga tingkatan dua.
“Melihat adanya permintaan dan mampu menjana pendapatan lumayan, ikan-ikan tersebut mula dijual kepada peminat atau pembeli tempatan. Namun saya terpaksa berhenti seketika selama lima tahun disebabkan masalah kesihatan sebelum menceburi semula bidang ini pada 2023 dengan membina kolam sendiri serta menyediakan akuarium yang lebih baik.
“Perusahaan dijalankan semakin berkembang selepas dibantu abang ipar, Muhamad Ridhuan Abd Rahim, 31, terutama bagi urusan pembekalan atau eksport anak ikan kelah ke luar negara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Basung.
Menurut Muhammad Jailani, saiz ikan kelah yang biasa dieksport adalah antara 15 hingga 60 sentimeter dengan harga antara RM150 hingga RM2,000 seekor bergantung kepada kualiti.
Katanya, dalam masa sebulan, antara 100 hingga 200 ekor anak ikan kelah dieksport terutama ke China dan bekalan tersebut diperoleh hasil daripada pembelian daripada orang-orang kampung serta komuniti setempat.
Muhamad Riduan berkata, selain menjual secara langsung mereka turut memasarkan ikan kelah secara dalam talian melalui platform media sosial.
“Ikan kelah merah merupakan spesies paling bernilai tinggi untuk pasaran hiasan dan komersial. Setakat ini, bagi pasaran China amat berjaya,” katanya.










