PUTRAJAYA: Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menganjurkan pertandingan video kreatif bagi menyemarakkan Bulan Kemerdekaan Malaysia dan Hari Malaysia tahun 2025.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertandingan itu terbuka kepada orang awam dan penyertaan peringkat negeri yang telah bermula 5 Jun lalu hingga 8 Ogos depan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, video yang memenangi peringkat negeri akan dipilih untuk dipertandingkan di peringkat kebangsaan yang dijadualkan berakhir pada 13 September 2025.
“Program ini dianjurkan secara kerjasama khususnya dengan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) dan juga Pasaraya AEON, Pasaraya MYDIN, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Penganjur lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Setiap video yang dihantar perlu berdurasi antara dua hingga tiga minit dan mengguna pakai tema ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’.
Katanya, majlis penyampaian hadiah peringkat negeri dijangka akan berlangsung pada 23 dan 24 Ogos 2025 dan peringkat kebangsaan pada 13 September 2025.
Fahmi berkata, pelbagai pengisian menarik akan turut diadakan seperti sesi interaktif kenegaraan, pertandingan mewarna, persembahan rakyat, cabutan bertuah, pertandingan pakaian beragam oleh pelajar sekolah, reruai pameran agensi kerajaan /swasta dan jualan rahmah.
“AKM berharap program ini dapat merangsang kreativiti dan ekspresi rakyat dalam menyambut kemerdekaan dengan cara yang !ebih dinamik dan relevan.
“Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman sesawang dan sosial media rasmi AKM,” katanya. – UTUSAN