Australia iktiraf negara Palestin di PBB September ini - Utusan Malaysia

Australia iktiraf negara Palestin di PBB September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia dijangka mengiktiraf negara Palestin dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini, susulan langkah serupa oleh Perancis, Britain dan Kanada, menurut laporan Sydney Morning Herald (SMH).

Perdana Menteri Anthony Albanese berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima komitmen rasmi daripada Pihak Berkuasa Palestin.

“Australia akan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk memiliki negara mereka sendiri, berdasarkan komitmen yang telah kami terima daripada pihak Palestin,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Australia akan bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk merealisasikan penyelesaian dua negara, yang disifatkan sebagai “harapan terbaik untuk memecahkan kitaran keganasan di Asia Barat.”

Perancis dan Kanada pada bulan lalu menyatakan hasrat mengiktiraf negara Palestin, manakala Britain turut menyatakan ia akan berbuat demikian sekiranya Israel gagal menangani krisis kemanusiaan di Palestin dan mencapai gencatan senjata.

Israel telah mengecam keputusan negara-negara yang menyokong pembentukan negara Palestin, dengan mendakwa ia hanya memberi ganjaran kepada Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Ahad berkata kebanyakan rakyat Israel menolak penubuhan negara Palestin kerana percaya ia akan membawa perang, bukannya keamanan.

Kenyataan itu dibuat ketika ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di Tel Aviv, membantah rancangannya untuk meningkatkan lagi konflik yang telah berlarutan hampir dua tahun dan menawan Bandar Gaza.

“Melihat negara-negara Eropah dan kini Australia mengikuti jejak itu begitu sahaja… ini amat mengecewakan dan sebenarnya memalukan, tetapi ia tidak akan mengubah pendirian kami,” kata Netanyahu.

Kerajaan Albanese yang berhaluan tengah-kiri telah lama menyatakan sokongan kepada penyelesaian dua negara dan mengiktiraf hak Israel untuk wujud dalam sempadan yang selamat serta hak rakyat Palestin untuk mempunyai negara sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN