Rakyat AS paling banyak naik pesawat pada 2024

Rakyat AS paling banyak naik pesawat pada 2024

Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran penerbangan terbesar dunia pada 2024 dengan mencatatkan 876 juta penumpang setahun. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pasaran penerbangan terbesar dunia pada 2024 dengan mencatatkan 876 juta penumpang setahun, sebahagian besarnya bagi penerbangan domestik, menurut laporan Statistik Pengangkutan Udara Dunia 2024 yang dikeluarkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

China berada di kedudukan kedua dengan 741 juta penumpang, melonjak 18.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala AS hanya mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus.

Britain menduduki tempat ketiga dengan 261 juta penumpang, diikuti Sepanyol (241 juta) dan India di tangga kelima, meskipun negara itu merupakan negara paling ramai penduduk di dunia.

Sembilan daripada 10 laluan udara paling sibuk dunia berada di rantau Asia Pasifik, dengan laluan domestik Korea Selatan antara bandar peranginan Jeju dan ibu negara Seoul menduduki tangga teratas.

Laluan itu mencatatkan lebih 13 juta penumpang tahun lalu.

Di Amerika Utara, laluan paling sibuk ialah antara New York dan Los Angeles dengan 2.2 juta penumpang, manakala di Ero­pah, laluan antara Barcelona dan Palma de Mallorca di Sepanyol merekodkan 2 juta penumpang.

Bagi Amerika Latin, laluan domestik antara Bogotá dan Medellín di Colombia menjadi yang paling sibuk dengan 3.8 juta penumpang.

Sementara itu, laluan penerbangan antara Cape Town dan Johannesburg di Afrika Selatan menjadi yang paling popular di Afrika dengan 3.3 juta penumpang.

Sementara itu, Boeing 737 termasuk semua variannya kekal sebagai pesawat paling banyak digunakan di dunia dengan 10 juta penerbangan pada 2024.

Airbus A320 berada di tempat kedua dengan 7.9 juta penerbangan, diikuti Airbus A321 dengan 3.4 juta penerbangan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN