PORT DICKSON: Polis Negeri Sembilan memperkemas kesiapsiagaan melalui 500 anggota serta pegawai untuk menyambut ketibaan ketua-ketua negara dan delegasi yang akan menghadiri persidangan ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Port Dickson pada September ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sebagai persediaan juga, pihaknya menerusi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Angkatan Tentera Malaysia menerusi Briged Pertama Infantri telah pun melaksanakan Eksesais Perisai Bandar.
Menurutnya, eksesais itu merupakan simulasi taktikal yang memfokuskan kepada pengendalian situasi rusuhan dan gangguan ketenteraman.
“Bagi Negeri Sembilan, lebih kurang 500 anggota akan digerakkan bersempena persidangan ASEAN nanti namun perkara ini masih lagi berterusan, mungkin ada kerjasama dengan pihak lain seperti ATM.
“Eksesais hari ini adalah simulasi ketika berdepan rusuhan daripada ekstrimis, latihan bersepadu ini bertujuan menitikberatkan prosedur dan kerjasama dalam menangani isu keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita di padang kawad Rejimen Kedua Kor Armor Diraja, Kem Sunggala, di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Panglima Briged Pertama Infantri, Brig. Jen. Zamri Othman.
Sempena latihan simulasi yang dijalankan itu, lebih 300 anggota keselamatan mempamerkan aksi dan kemahiran selama hampir satu jam.
Latihan berkenaan turut melibatkan pelbagai aset ketenteraan termasuk perisai Gempita 8×8 varian armoured fighting vehicle, kenderaan pembawa senjata GK-M1, serta ambulans dari Rejimen Askar Melayu Diraja.
Eksesais berkenaan turut memberi penekanan terhadap keberkesanan pelaksanaan serta penilaian taktik, teknik dan prosedur penyuraian rusuhan mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN










