GEORGE TOWN : Seorang pereka dalaman wanita kerugian RM794,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang dikenali sebagai ‘CSECDT’ di laman Facebook.
Mangsa yang berusia 47 tahun itu pada mulanya dikatakan berhubung dengan seorang wanita lain iaitu suspek melalui aplikasi WhatsApp selepas melihat satu iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek kemudian telah meminta mangsa untuk memuat turun aplikasi pelaburan tersebut dan mendaftar keahlian sebelum memulakan pelaburan antara tempoh 11 April hingga 3 Jun lalu.
“Sepanjang tempoh berkenaan, mangsa mendakwa telah melakukan tujuh transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun bank berbeza milik beberapa syarikat.
“Mangsa bagaimanapun hanya menyedari dirinya ditipu selepas cuba membuat pengeluaran keuntungan berjumlah RM2 juta apabila diminta membayar cukai pengeluaran sebanyak RM200,000 terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Hamzah, mangsa seterusnya tampil membuat laporan polis pada 16 Jun lalu dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan terutama yang dipromosikan melalui media sosial.
“Semakan perlu dibuat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memastikan entiti atau individu yang menawarkan pelaburan itu mempunyai kebenaran sah,” katanya yang memberitahu, portal ‘Semak Sebelum Lebur’ juga boleh dijadikan rujukan sebelum melabur.-UTUSAN