PETALING JAYA: Kertas siasatan kes amang seksual membabitkan seorang penyanyi dan pelakon terkenal tanah air masih diteliti pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrul Shahrulnizam Ja’afar berkata, justeru itu selebriti yang terlibat dalam kes membabitkan seorang gadis berusia 17 tahun tersebut tidak dituduh pada hari ini.
“Belum lagi (tuduh hari ini), kertas siasatan masih pada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi menanti arahan lanjut,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan polis selepas melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja sejak tiga bulan lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu.
Suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel dan didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).-UTUSAN










