Penuntut wanita di Cyberjaya ditemukan maut dipercayai dibunuh

Penuntut wanita di Cyberjaya ditemukan maut dipercayai dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya ditemukan maut dalam rumahnya dipercayai dibunuh pagi kelmarin.

Mangsa berusia 20 tahun berasal dari Sarawak itu ditemukan maut oleh rakan serumah dengan kesan kecederaan di kepala kira-kira pukul 10.28 pagi di Mutiara Ville, Cyberjaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, tidak terdapat sebarang kesan pecah masuk ke atas kediaman mangsa.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa mendapati terdapatnya kecederaan ditemukan di bahagian kepala.

“Mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada kepala.

“Selain itu, tiada kesan kecederaan ditemukan pada tubuh mangsa yang boleh dikaitkan dengan rogol,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Norhizam berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Kami memandang serius insiden ini dan menyeru orang ramai agar bertenang, tidak membuat sebarang spekulasi serta berkongsi maklumat yang tidak benar, yang boleh menjejaskan siasatan dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh melanggar undang-undang,” katanya.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular, sepasukan anggota polis dilihat membawa mayat mangsa keluar dari kediamannya sebelum dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beberapa pelajar dan rakan mangsa turut meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial susulan insiden itu dan mempertikai tahap keselamatan di Mutiara Ville itu.

Mereka masing-masing kecewa dan marah dengan tahap keselamatan di kondominium itu kerana boleh membiarkan suspek masuk dan membunuh rakan mereka.

Pada masa sama, mereka turut menyeru agar pihak universiti, pengurusan asrama dan pihak polis segera mengambil tindakan drastik selain menuntut supaya keselamatan di kediaman itu diperketatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN