PASIR MAS: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 47 butir peluru hidup tanpa permit serta lesen sah di sebuah rumah di Jalan Meranti, dekat sini, kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Zamri Mustafa, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah. Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Glock 19 tanpa permit atau lesen sah di sebuah rumah di Jalan Meranti di sini kira-kira pukul 8.30 malam pada 29 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Zamri didakwa memiliki 47 butir peluru hidup pelbagai jenis antaranya 20 butir jenis A USA 9mm Luger, masing-masing sebutir FC 9mm Luger, PMC 9mm Luger dan S3 9mm Luger selain dua butir AP 14 9mm Luger di masa dan lokasi yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh berdepan tuduhan melibatkan kes senjata api yang merupakan kesalahan serius.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN