Pendigitalan perkukuh usaha dokumentasi kraf warisan tempatan - Utusan Malaysia

Pendigitalan perkukuh usaha dokumentasi kraf warisan tempatan

MOHD. Yusri Mohd. Yusoff (tengah), bersama Fuad Ariffi n (kanan) dan Rolland Duat Anak Jubin, Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia serta Abdul Halim Ali (dua dari tengah), menyempurnakan sesi Walkabout sempena Pameran Karya Agung di Muzium Kebudayaan Borneo, Kuching, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Orang ramai kini berpeluang menghayati keindahan dan kehalusan seni kraf tempatan menerusi Pameran Karya Agung Seni Kraf Warisan Negara yang sedang berlangsung di Muzium Kebudayaan Borneo, Kuching sehingga 25 Julai ini.

Pameran anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), merupakan usaha julung kali diadakan di muzium itu bagi memartabatkan seni dan budaya kraf negara, khususnya dari sudut warisan yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh kraf tanah air.

Program istimewa ini turut melibatkan Sesi Walkabout yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd. Yusri Mohd.Yusoff, serta diiringi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali.

Pameran di Borneo Cultures Museum memaparkan sebanyak 56 koleksi kraf tekstil yang merupakan hasil kerja tangan lima Tokoh Kraf Negara dan 20 Adiguru Kraf.

Setiap koleksi memaparkan nilai seni yang tinggi, kehalusan teknik, serta warisan budaya yang tidak ternilai harganya.

Selain di Kuching, Pameran Karya Agung turut dianjurkan serentak di Muzium Kraf, Kompleks Kraf Kuala Lumpur sehingga Rabu, 31 Disember 2025, dan di Muzium Negara sehingga Isnin, 30 Jun 2025, sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan capaian seni warisan kepada masyarakat di seluruh negara.

Bagi memperkasakan lagi usaha pendokumentasian, Kraftangan Malaysia menggerakkan inisiatif ini secara digital agar maklumat mengenai kraf dapat disimpan secara sistematik, memudahkan untuk pembelajaran selain dapat meningkatkan kecekapan dalam pencarian maklumat.

Antara usaha pendigitalan yang diketengahkan seperti setiap koleksi disertakan dengan kod QR yang membolehkan pengunjung mengakses maklumat terperinci, dokumentasi sejarah serta cerita di sebalik karya menerusi peranti pintar.

Beberapa koleksi kraf yang dipamerkan di Muzium Kraf Kuala Lumpur, disokong dengan elemen Augmented Reality (AR), di mana pengunjung dapat menyaksikan proses pembuatan kraf secara maya atau melihat transformasi reka bentuk dalam bentuk animasi 3D yang menghidupkan karya secara digital.

Turut disediakan, Interactive Touch Panels yang ditempatkan di Muzium Kraf, Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang membolehkan pengunjung meneroka maklumat menerusi pilihan video dokumentari, profil tokoh dan penerangan produk dengan hanya satu sentuhan.

Pendigitalan juga diperluaskan dengan menjadikan Muzium Kraf Kuala Lumpur boleh dilawati secara maya dari mana-mana lokasi melalui platform digital. Usaha ini menjadikan maklumat kraf warisan lebih cepat dan mudah dicapai.

Menariknya, Tokoh Kraf Negara 2024, Bangie anak Embol diberikan penghargaan untuk melakukan Demonstrasi Kraf yang menampilkan pembuatan kraf Tenunan Pua sempena Sesi Walkabout itu.

Kraftangan Malaysia menyeru orang ramai khususnya warga Sarawak agar mengambil peluang ini untuk hadir dan menyaksikan sendiri khazanah kraf negara yang penuh nilai sejarah, identiti dan kesenian tinggi.

Pameran ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang keunikan warisan tempatan, malah memperkukuhkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara dan mewariskan seni kraf kepada generasi akan datang.

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, Adiguru Kraf mempunyai tahap kepakaran yang tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf beridentiti tempatan.

Katanya, sehingga tahun 2024, seramai 73 orang dilantik sebagai Adiguru Kraf daripada pelbagai bidang kemahiran dan pengkhususan. Katanya sehingga kini, seramai lapan orang menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara.

Pameran Karya Agung-Seni Kraf Warisan Negara di Muzium Kebudayaan Borneo turut mengetengahkan kraf tekstil seperti Songket, Tenun Pahang Diraja, Tekatan, Sulaman Nyonya, Tenunan Pua, Mugah, Rungus, Dastar, Siambitan, Linangkit dan Sulaman Pis.

Sempena sesi Walkabout itu, Mohd. Yusri turut berkesempatan menyaksikan demonstrasi kraf yang menampilkan pembuatan kraf Tenunan Pua oleh Tokoh Kraf Negara, Bangie Embol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN