KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan secara dasar bersetuju menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak dengan nilai RM1.8 bilion.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sehingga kini penyerahan pelabuhan itu kepada Sarawak di peringkat akhir membabitkan proses perundangan.
“Soal kerajaan Sarawak mampu atau tidak, saya rasa Yang Berhormat tidak perlu bimbang. Kerajaan negeri tidak bimbang. Saya yakin kemampuan kewangan Sarawak malah mereka juga ingin bayar secara ‘lump sum’ (bayaran penuh).
“Pelabuhan Bintulu masih berstatus pelabuhan Persekutuan di bawah kawal selia Lembaga Pelabuhan Bintulu sehingga Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) dikuatkuasakan.
“Sehingga kini jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan dan dipengerusikan bersama antara negeri dan Persekutuan sedang memperhalusi aspek perundangan bagi memastikan semua obligasi disempurnakan kedua-dua pihak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta kementerian menyatakan status semasa Pelabuhan Bintulu dan jumlah yang dibayar kerajaan negeri Sarawak.
Bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) sama ada kerajaan sedia mendedahkan butiran terperinci jumlah transaksi membabitkan RM1.8 bilion itu termasuk di peringkat Jawatankuasa Khas Parlimen, Loke berkata, ia terpulang kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Dari segi aspek penilaian dan sebagainya ia masih diperhalusi antara Persekutuan dan negeri membabitkan jawatankuasa teknikal, khas dan kerja sebelum ia boleh dimuktamadkan.
“Berikutan ia adalah antara perjanjian antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, jadi terpulang kepada dua pihak sama ada untuk mendedahkan maklumat terbabit.
“Di peringkat Kementerian Pengangkutan, kita tiada masalah kerana tiada apa yang perlu disembunyikan, ia berjalan atas dasar yang telus,” katanya. – UTUSAN










