Pelajar cemerlang STPM mahu jadi guru bantu pelajar Orang Asli - Utusan Malaysia

Pelajar cemerlang STPM mahu jadi guru bantu pelajar Orang Asli

SIRA Suhairi menunjukkan keputusan STPM 2024 di rumahnya di Kuala Mu di Sungai Siput. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Biarpun berseorangan meneruskan pendidikan dalam Tingkatan 6, Sira Suhairi, 20, tidak berputus asa untuk meneruskan perjuangannya.

Kesungguhannya itu terbalas apabila berjaya mencatatkan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.09, sekali gus merupakan pelajar Orang Asli di Perak yang paling cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Dia yang mengikuti Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Muda Abdul Aziz di Sungai Siput rasa bersyukur atas kejayaan tersebut.

“Semasa peringkat permulaan ramai kawan-kawan rapat lain mula meninggalkan Tingkatan 6 untuk menyambung pengajian di tempat lain. Saya rasa tertekan juga, namun teruskan juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sira yang berasal dari Kampung Bersah Kuala Mu, tinggal di asrama sekolah memandangkan jarak rumahnya ke sekolah sejauh 60 kilometer mendaki bukit.

“Saya berpuas hati dengan dengan pencapaian ini. Saya mahu menjadi guru supaya boleh membantu ramai anak-anak Orang Asli dalam pendidikan dan menjadi orang berjaya,” katanya.

Sementara itu pelajar Kolej Tingkatan Enam Seri Putera Ipoh, Phan Yi Yan, 20, yang mendapat PNGK 4.00 dalam aliran sains gembira dengan pencapaian tersebut.

Baginya, STPM merupakan pilihan terbaik bagi pelajar untuk memasuki universiti kerana kosnya lebih murah berbanding program prauniversiti yang lain.

“Tingkatan 6 atau STPM merupakan pilihan terbaik khususnya bagi pelajar daripada golongan B40. Ia lebih murah buat sesiapa yang mahu melanjutkan pendidikan di menara gading,” katanya yang mahu melanjutkan pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang kejuruteraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN