BESUT: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua mengalami kecederaan di bahagian perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan dipercayai menjadi mangsa buli di asrama di sebuah sekolah, di daerah ini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima satu aduan yang dibuat oleh mangsa pada pukul 6.48 petang semalam.
Katanya, kira-kira pukul 11.30 malam Selasa lalu, mangsa berusia 14 tahun mendakwa telah diarahkan untuk membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit oleh beberapa pelajar tingkatan tiga.
“Selain itu, mangsa dikatakan telah ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka. Susulan kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan sakit di perut dan rusuk sebelah kanan serta kesan lebam di bahagian belakang badan.
” Kejadian tersebut disedari oleh warden yang bertugas dan membawa mangsa serta semua suspek ke pejabatnya sebelum menghubungi penjaga mangsa,” katanya di sini hari ini.
Katanya, ibu bapa mangsa diminta membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, ekoran itu lima suspek yang juga pelajar asrama sekolah terbabit ditahan dan kes disiasat di bawah Sekyen 147 kanun keseksaan. – UTUSAN