KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat menghasilkan buku mengenai operasi-operasi khas dijalankan agensi tersebut untuk dijadikan panduan kepada anggota dan pegawai muda.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, buku yang bakal menyimpan maklumat berkaitan operasi-operasi khas PDRM itu dilihat dapat membantu pegawai muda agar tidak melakukan kesalahan berulang.
Beliau berkata, bagi merealisasikan usaha berkenaan, pihaknya mendapatkan maklumat dan pandangan ahli-ahli Persatuan Pegawai- Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) yang pernah terlibat dalam operasi-operasi khas.
“Dalam Cawangan Khas (SB) sendiri memang kita ada bukukan operasi yang dibuat.
“Seperti JSJ, saya rasa banyak operasi perlu dibukukan kepada pegawai dan anggota baharu sebagai panduan yang boleh digunakan dalam operasi.
“Ini kerana pengalaman dan maklumat yang ada pada pegawai polis lama terlalu banyak. Akan ada operasi yang sama mungkin ada kesalahan atau kesilapan yang sama diulangi pegawai baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Respa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu dijangka memakan masa kerana memerlukan maklumat dan pengalaman daripada pegawai lama.
Ujar beliau, usaha tersebut perlu dilakukan jabatan-jabatan lain antaranya Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
“Saya secara peribadi pun banyak pegawai ‘senior’ yang sudah pencen ini turut mesej kadang-kadang berkenaan isu-isu sensitif dari segi perundangan sebagainya, banyak yang saya gunakan sebagai panduan,” katanya.
Sementara itu, Ayob Khan dalam ucapannya menyeru ahli-ahli Respa untuk mengemas kini maklumat peribadi dalam sistem e-Pesara PDRM, khususnya membabitkan alamat terkini, status kesihatan dan waris yang boleh dihubungi.
“Ini bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan faedah dan ganjaran daripada kerajaan.
“Saya mendoakan Respa akan terus berjaya dalam usaha murninya untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ahli. Segala jasa bakti yang telah dicurahkan sentiasa dihargai,” katanya. – UTUSAN