PADANG BESAR: Suasana suram dan sunyi waktu malam di pekan Padang Besar di sini kembali hidup dan bertukar meriah dengan kewujudan Pasar Malam Padang Besar.
Padang Besar adalah lokasi pelancongan cukup popular di negeri ini sebagai ‘syurga’ membeli-belah yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari seluruh negara.
Namun pada sebelah malam suasana bertukar sunyi sepi atau ‘pekan mati’ sejurus kedai-kedai di arked niaga menutup operasi.
Ekoran itu, pelancong terpaksa memilih lokasi lain khususnya di Kangar, Arau atau Kuala Perlis untuk berjalan-jalan pada waktu malam.
Bagaimanapun, kewujudan Pasar Malam Padang Besar yang beroperasi pada Jumaat hingga Ahad sejak sebulan lalu itu menukar suasana malam di situ kembali hidup dan meriah.
Malah, sempena musim cuti sekolah, pasar malam yang dilanjutkan operasinya pada setiap hari dari 30 Mei hingga 8 Jun dari pukul 4 petang sehingga 12 tengah malam itu menyaksikan lokasi berkenaan padat dengan pengunjung sekali gus turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim berkata, pada masa ini ada 10 gerai beroperasi yang menjual pelbagai jenis makanan, kopi, kraf, desert dan lain-lain.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan negeri berkata, melihat kepada sambutan memberangsangkan, ia akan diperluaskan selepas ini seperti pasar karat selain jualan pakaian dan barangan kering.
Ujarnya, sempena musim cuti sekolah ini, setiap malam kawasan berkenaan penuh sesak dengan pengunjung yang sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat selain menghidupkan suasana malam.
“Sebelum ini, suasana malam di Padang Besar bertukar ‘mati’ selepas kedai-kedai di arked niaga di sini tutup. Jadi kita rancang untuk menghidupkan suasana malam di sini yang akhirnya berjaya direalisasikan.
“Apabila suasana malam di sini hidup, pelancong di Padang Besar boleh terus kekal berada di sini sehingga waktu malam,” katanya.
Menurut Izizam, perkhidmatan choley juga dirancang untuk disediakan di Padang Besar Night Market selepas ini bagi membawa pelancong di kawasan berkenaan.
“Sempena Tahun Melawat Perlis yang bakal dilanjutkan setahun lagi bersama Tahun Melawat Malaysia tahun depan, diharap lokasi ini juga menjadi salah satu pilihan pelancong,” katanya. – UTUSAN











