Pas sangkal dakwaan hubungan dengan Bersatu retak

Pas sangkal dakwaan hubungan dengan Bersatu retak

ANNUAR melakukan gimik memotong pulut kuning ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pas Pulai di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pas sangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) retak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, dakwaan itu hanyalah tafsiran pihak yang bukan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) setelah cadangan parti untuk memperkasakan struktur PN.

“Sejujurnya, Pas mempunyai hubungan yang jauh lebih harmoni dengan semua parti komponen dalam PN jika dibandingkan dengan parti lain di luar sana.

“Saya lebih tahu apa keadaan sebenar PN, mungkin dakwaan itu dibuat apabila baru-baru ini ada cadangan supaya struktur PN diperkasakan sekali gus timbul tafsiran kononnya berlaku perselisihan, hakikatnya tidak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Pulai, di sini hari ini.

Pada 13 Jun lalu, Pas dilaporkan mencadangkan rombakan struktur PN, yang memberikan kuasa operasi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Timbalan Presiden Bersatu.

Dalam cadangan itu, satu jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah akan ditubuhkan manakala Presiden empat parti komponen PN iaitu Pas, Bersatu, Gerakan dan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP), terus memainkan peranan dalam Majlis Tertinggi sedia ada.

Perkara itu dilaporkan diusulkan bagi menyediakan Hamzah menerajui tampuk kepimpinan PN sekiranya berlaku pertukaran rejim di peringkat pusat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Annuar memaklumkan, cadangan bagi memperkasakan gabungan itu sudah dibentangkan kepada pimpinan tertinggi gabungan itu dan telah bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa yang diwakili oleh lima orang daripada setiap parti.

“Jawatankuasa ini akan memperincikan cadangan memperkasakan PN. Pada saya, itu  satu perkembangan yang sihat dalam kita berhadapan perubahan politik yang pragmatik,” katanya.

Annuar yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, pihaknya telah memperkemas gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya dengan memberi penekanan kepada Johor dan Melaka yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal.

Katanya, arahan telah dikeluarkan kepada semua Ketua Penerangan negeri untuk meningkatkan kesiapsiagaan termasuk dengan pelbagai program latihan di semua peringkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN