KOTA BHARU: Ahli-ahli Pas memerlukan daya kepemimpinan dan buah fikiran Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Presiden, bukan tenaganya.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu penting untuk difahami semua pihak terutama mereka yang sering mempersoal kemampuan Abdul Hadi untuk terus memimpin atas faktor keuzuran.
Katanya, daya kepemimpinan dan pemikiran Abdul Hadi terutama dalam aspek pembangunan politik Islam sudah terbukti di peringkat antarabangsa, malah diiktiraf termasuk oleh tokoh ulama tersohor, Dr. Yusuf al-Qardawi.
“Penting untuk difahami apa yang diperlukan oleh ahli Pas adalah daya kepemimpinan dan buah fikiran tok guru (Abdul Hadi). Kita bukan nak suruh dia panjat pokok tetapi kita yang panjat pokok. Kita cuma mahukan ilmu, pandangan, pemikiran dan kepemimpinan tok guru.
“Seperti juga dunia yang memerlukan tok guru kerana agenda penyatuannya. Contohnya apabila beliau mengajak semua pihak memandang kepada Iran. Kita bukan mahukan Syiahnya tetapi (semangat) jihad mereka yang berani bangkit menentang Amerika Syarikat (AS) dan Israel,” katanya ketika ditemui di Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu berkata, dakwaan mengatakan Abdul Hadi pernah menyuarakan hasrat untuk berundur juga tidak sepatutnya timbul kerana ia bukan sesuatu yang menjadi pilihan atau kehendak beliau sejak awal.
“Sebenarnya tok guru dari dulu lagi tak mahu dan angkat tangan untuk menolak jawatan Presiden. Tapi kami (ahli Pas) yang mahu mengekalkan kepemimpinan beliau sebab kami pegang kemas pesanan (bekas Mursyidul Am Pas) almarhum tuan guru (Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat).
“Almarhum tuan guru selalu pesan, ‘kalau ada orang tak mahu jawatan, kita kena pilih orang itu dan kalau orang minta jadi calon, jangan beri’. Itu sudah menjadi amalan dalam Pas,” katanya.
Wan Roslan berkata, Pas Kelantan menjangkakan tidak berlaku perubahan pucuk pimpinan pada Muktamar Pas Ke-71 yang bakal berlangsung di Kedah pada 15 dan 16 September ini.
“Kalau pun berlaku peralihan pucuk pimpinan, ia akan berlaku secara harmoni melalui ‘syura’ antara dua atau tiga nama yang dicalonkan.
Mereka akan berbincang dan isytihar pada hari pemilihan. Pertandingan di peringkat naib presiden dan ahli jawatankuasa pula perkara biasa,” katanya.
Beliau berkata, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud telah dipilih sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas menggantikan ADUN Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad manakala dirinya kekal sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Tumpat.
“Kami akur walaupun pada awalnya telah menyatakan hasrat tidak bertanding, tambahan masing-masing tidak dapat hadir pada mesyuarat agung kawasan kerana Menteri Besar ada tuntutan tugas negeri di luar Kelantan dan saya sendiri berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji,” katanya. – UTUSAN










