KOTA BHARU: Khidmat Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih diperlukan Pas untuk memimpin parti itu dan perlu kekal sebagai Presiden meskipun ramai yang mempersoal tahap kesihatannya.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejayaan prosedur perubatan yang dilalui tokoh berkenaan, kelmarin menambah keyakinan bahawa Abdul Hadi akan kembali sihat untuk menggalas tugas sebagai pemimpin.
“Paling penting Tok Guru (Abdul Hadi) dapat terus membantu kita (Pas Kelantan). Yang nak menggerakkan parti itu ramai termasuk ahli jawatankuasa Pas Pusat, tetapi kita mahukan kepemimpinan, pemikiran dan tunjuk ajar Tok Guru.
“Sebab beliau (Abdul Hadi) berpengalaman luas bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, tahap kesihatan Abdul Hadi tidak pernah menjadi masalah dan kepemimpinan Ahli Parlimen Marang itu terus diterima secara sebulat suara oleh pemimpin Pas.
“Kesihatan Tok Guru tidak menjadi masalah buat Pas. Selagi beliau dapat memimpin, kita minta beliau teruskan dan boleh dikatakan semua pemimpin parti bersetuju dengan perkara ini. Buat masa ini, itulah pendirian Pas Kelantan,” ujarnya. – UTUSAN










