Pas bukan parti anak-beranak

Pas bukan parti anak-beranak

Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan East Coast Energy (ECE) di Taman Tamadun Islam, Terengganu semalam. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas lebih bersih dalam memilih kepemimpinan parti kerana tiada sifat ‘mewarisi’ yang hampir sama dengan amalan dinasti.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bukan budaya dalam parti Islam tersebut untuk membuat penggiliran dalam kepemimpinan sehingga memberi kedudukan penting dalam kerajaan.

Katanya, tindakan tersebut hanya mengukuhkan elitisme politik dan mematikan semangat meritokrasi.

“Tiada ruang dalam Pas untuk jawatan diserahkan secara automatik kepada anak, menantu atau isteri pemimpin terdahulu. Tiada laluan pintas bagi mana-mana individu berdasarkan nama keluarga.

“Jika ada anak kepada pimpinan yang aktif dalam parti sekalipun, mereka tetap perlu melalui proses panjang iaitu bermula dari bawah, diuji dalam gerak kerja dan dinilai berdasarkan keikhlasan serta kemampuan, bukan keturunan.

“Perkara ini jauh berbeza dengan budaya dalam sesetengah parti lain yang secara terbuka memperlihatkan corak pewarisan politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas mengenai kedudukan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang yang sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau akan berundur dari jawatannya berdasarkan faktor kesihatan.

Penjelasan Abdul Hadi itu sekali gus meninggalkan persoalan siapakah yang bakal menggantikan kedudukannya sebagai presiden Pas.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, kepemimpinan parti Pas dibentuk melalui pemilihan dalam muktamar, diperhalusi melalui syura dan sokongan akar umbi.

Katanya, ia sekali gus menjadikan peralihan kuasa dalam Pas tersusun dan bebas daripada krisis dalaman yang berpunca daripada perebutan kuasa keluarga.

“Lebih menarik, sejarah menunjukkan bahawa perubahan kepimpinan dalam Pas sering berlaku tanpa sebarang unsur campur tangan peribadi.

“Apabila berlaku peralihan, ia berjalan secara teratur, dengan mandat yang datang dari akar umbi, bukan dari ruang tamu keluarga politik tertentu.

“Inilah sebabnya Pas terus re­levan, bukan kerana ketokohan individu tertentu atau kekuatan keluarga pemimpin tetapi kerana ia dibina atas asas perjuangan, bukan pewarisan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tahap kesihatan Abdul Hadi semakin baik dan menunjukkan perkembangan yang positif selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), minggu lalu.

Beliau berkata, Presiden Pas itu kini berada dalam fasa pemulihan di pusat rawatan tersebut.

Katanya, beliau berpeluang menziarahi Ahli Parlimen Marang itu baru-baru ini dan bersyukur kerana proses pemulihan Abdul Hadi berjalan lancar dengan tanda positif.

“Alhamdulillah, saya sangat teruja sebenarnya melihat prosedur yang dijalani Tan Sri berjalan dengan baik dan proses pemulihan beliau juga sangat lancar dan cepat.

“Proses pemulihan beliau sangat memberangsangkan dan doktor yang merawat beliau juga ada beritahu yang proses recovery (pemulihan) beliau agak luar biasa dalam masa yang singkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×