Paparan harga ubat untuk jaga poket rakyat

Paparan harga ubat untuk jaga poket rakyat

ANWAR Ibrahim berucap ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025: "Hidup Sehingga 100 Tahun: Sudahkah Kita Bersedia" di sini hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan paparan harga ubat di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bertujuan untuk menjaga ‘poket’ orang miskin dan warga emas di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan salah satu inisiatif utama yang dicadangkan bagi mempersediakan negara menghadapi negara menua iaitu mewajibkan fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti memaparkan harga ubat.

Katanya, dasar itu sebenarnya menggalakkan persaingan sihat dan mengurangkan beban kewangan terhadap rakyat.

“Malangnya, inisiatif ini telah menjadi isu kontroversi. Saya berharap kita boleh terus mencari jalan penyelesaian melalui libat urus yang lebih mendalam. 

“Bagi golongan miskin dan warga emas, apa yang mereka perlukan hanyalah maklumat mengenai harga ubat yang akan mereka bayar. Itu sahaja,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025: “Hidup Sehingga 100 Tahun: Sudahkah Kita Bersedia” di sini hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, usaha itu menghadapi kesukaran kerana wujudnya rasa tidak puas hati dan salah faham.

“Ada pihak yang menganggap kerajaan terlalu autoritarian (keras) dan cuba mengawal harga namun, niat sebenar kami bukan begitu tetapi hanya untuk mewajbkan paparan harga supaya pesakit boleh membuat pilihan yang bijak berdasarkan kemampuan mereka,” katanya.

Bagi menyelesaikan kontroversi itu, Perdana Menteri berkata, beliau sudah menasihatkan Kementerian Kesihatan untuk terus menjalankan libat urus dengan pihak berkaitan berhubung isu terbabit.

“Saya telah menasihati pihak kementerian untuk terus menjalankan libat urus, khususnya bagi meyakinkan pengamal perubatan am dan doktor agar menerima cadangan ini.

“Apa yang sedang kita lakukan hanyalah demi melindungi kewangan keluarga, khususnya yang paling terkesan dengan kos rawatan yang semakin meningkat,” katanya.

Pada 6 Mei lalu, kira-kira 200 doktor dan pengamal perubatan berhimpun di Laman Perdana berhampiran Bangunan Perdana Putra, Putrajaya membantah pelaksana­an Akta 723 yang mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.

Kumpulan tersebut mula ber­himpun kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum 10 daripada peserta dike­tuai wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thirunavukarasu memasu­ki Bangunan Perdana Putra untuk menye­rahkan dokumen memorandum.

Antara tuntutan komuniti itu adalah Akta 723 disemak semula, dengan meletakkan profesion perubatan sepenuhnya di bawah Akta 586 yang dilihat memadai untuk mengawal selia amalan perubatan dan perkhidmatan kesihatan swasta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN