KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegur budaya yang mengagungkan pemberi rasuah di negara ini sehingga menghakis nilai membenci gejala itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, trend mengagungkan pemberi rasuah itu sangat membimbangkan kerana ia tidak akan mengangkat diri dan negara.
“Dalam usaha memerangi rasuah sekarang, nilai itu terhakis. Kita kata kita benci rasuah, apabila ambil tindakan dan kalau kena pada kawan, kita marah.
“Bukan setakat itu, kita sekarang ada pula trend untuk mendewa dan mengagungkan pemberi rasuah. Saya fikir (ia) sangat menggusarkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan bersama Warga Kementerian Kerja Raya di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.
Turut hadir sama adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.-UTUSAN










