KUALA LUMPUR: Ibu bapa disaran tidak berputus asa sekiranya anak mereka menunjukkan tanda-tanda pelat atau lambat bercakap (speech delay).
Pakar Terapi Pertuturan, Noormala Anuar Ali berkata, ibu bapa perlu terus berikhtiar kerana masih belum terlambat untuk membantu perkembangan pertuturan mereka.
Katanya, fasa rangsangan bahasa paling kritikal berlaku ketika anak berumur antara satu hingga empat tahun, namun usaha membimbing mereka masih boleh diteruskan walaupun selepas usia tersebut.
“Saya percaya, tiada istilah terlambat. Lebih baik mencuba daripada terus mengaku kalah. Setiap usaha ibu bapa boleh memberi impak, asalkan menggunakan pendekatan dan bahan yang betul.
“Dengan kepakaran dalam bidang ini, saya berjaya menghasilkan sebuah buku interaktif yang mudah difahami ibu bapa untuk memberi pendedahan awal kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran buku Cakaplah Sayang di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, baru-baru ini.
Katanya, beliau mengambil masa lebih setahun untuk mengolah hasil kajian doktor falsafah (PhD) pertuturan dan bahasa kepada bentuk bahan bacaan awam yang lebih praktikal.
“Harapan saya agar semua ibu bapa ada sekurangkurangnya satu naskhah buku ini di rumah dan luangkan masa membaca kepada anak-anak,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 21 buah buku kanak-kanak dilancarkan hari ini dengan harga serendah RM12 senaskhah, yang boleh didapati secara berasingan atau dibeli dalam bentuk set lengkap.
Katanya, buku itu begitu istimewa buatnya kerana penglibatan anak perempuannya, Nur Balqis Insyirah Fakhrulazmi, 19, pada bahagian ilustrasi.
“Buku ini juga dihasilkan dengan bantuan anak saya untuk bahagian grafik,” katanya. – UTUSAN